KUALA LUMPUR 21 Jun - Syarikat usaha sama (JV) Telekom Malaysia Bhd (TM) bersama Singapore Telecommunications Ltd (Singtel) mempunyai kelebihan daya saing yang kukuh meski pun persaingan dalam landskap perniagaan pusat data semakin meningkat.
Menurut TA Securities, JV itu akan mempunyai kelebihan dari segi rangkaian sambungan dan kos ketersambungan untuk merebut permintaan dan peluang yang semakin meningkat daripada penyedia aplikasi AI generasi seterusnya dan syarikat multinasional.
"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap JV TM dan Singtel kerana ia akan mengukuhkan lagi kedudukan utama TM dalam landskap pusat data Malaysia.
"Walaupun persaingan semakin meningkat dalam ruang pusat data, kami percaya JV akan mempunyai kelebihan dari segi rangkaian sambungan dan kos ketersambungan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Telekom Malaysia bekerjasama dengan Singtel bangunkan pusat data di Iskandar Puteri, Johor
Secara amnya, TA Securities mengekalkan pandangan positif terhadap perjanjian usaha sama itu dan mengekalkan saranan Beli pada TM dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM7.70 sesaham.
Dalam taklimat diberikan, TA Securities berkata, pengurusan TM memaklumkan pusat data di Iskandar Puteri, Johor hasil JV dengan Singtel melibatkan kapasiti awal 64MW.
Katanya, JV menyasarkan untuk mengisi kapasiti itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun an selepas itu, ia akan ditingkatkan sehingga 200MW dalam beberapa fasa.
"Pengurusan telah mengesahkan bahawa kumpulan telah menjalankan pra-jualan dan maklum balas secara amnya adalah baik.
"Pihak pengurusan yakin bahawa JV akan dapat menjamin komitmen akhir pelanggan sebelum melengkapkan pusat data," ujarnya.
Jelas TA Securities, pihak pengurusan juga memberi panduan bahawa 5.0% daripada kapasiti dirancang untuk keperluan AI.
"Sekiranya terdapat permintaan yang menggalakkan untuk AI, JV boleh mengubah reka bentuk untuk memenuhi keperluan AI yang lebih tinggi.
"Sementara itu, selepas mendapat semua kelulusan yang diperlukan, JV akan memanggil tender terbuka untuk kerja-kerja pembinaan pusat data," katanya, - DagangNews.com








