Cadangan Kumpulan Pakar Penasihat Kesihatan dan Sains COVID-19 (EAG) dapat membantu kerajaan menangani situasi semasa COVID-19. - Gambar MalayMail/Ahmad Zamzahuri
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Mei - Tidak akan timbul isu Kumpulan Pakar Penasihat Kesihatan dan Sains COVID-19 (EAG) bakal menerajui Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) di Kementerian Kesihatan.
Ini susulan kumpulan berkenaan hanya berfungsi untuk menasihati kementerian dalam pengurusan pandemik COVID-19 serta tiada keupayaan untuk mengambil alih kepimpinan tersebut, tegas Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar.
“Jadi, sebenarnya mereka (EAG) bertindak sebagai penasihat, tiada mandat rasmi untuk melaksanakan apa-apa, tiada misi untuk melaksanakan apa saja.
“Kita katakan (kumpulan ini) membawa ‘suara’ dari luar KKM untuk berhubung dengan kementerian itu, jadi tiada keupayaan untuk mengambil alih,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com lewat petang semalam.

Baca : EAG lengkapkan strategi COVID-19 KKM, bukan ambil alih kepimpinan
Baru-baru ini, Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin menerusi satu kenyataan mencadangkan supaya kepimpinan tertinggi di KKM untuk direhatkan daripada menguruskan krisis COVID-19 di negara ini.
Beliau meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi mandat kepada EAG yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan sebelum ini, Tan Sri Prof Emeritus Abu Bakar Sulaiman untuk mengambil alih kepemimpinan CPRC.
Dalam kenyataan balas EAG semalam, kumpulan itu sebaliknya membantah saranan berkenaan dan menyokong supaya CPRC terus diterajui KKM.
Di sebalik penegasan Zainal Ariffin berhubung fungsi EAG, beliau bagaimanapun meminta supaya pakar-pakar di dalam CPRC disusun semula bagi menemui ‘titik noktah’ yang dapat membendung kes penularan COVID-19 di Malaysia.
Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, EAG yang terdiri daripada pasukan pakar pelbagai bidang sepatutnya memainkan peranan untuk membantu kerajaan dan juga KKM dalam memantapkan pengurusan pandemik ini.

Ini kerana katanya, mereka memiliki kepelbagaian latar belakang dan pengalaman yang amat berguna kepada kerajaan mahupun kementerian.
"Namun, saya ingin tegaskan, EAG tetap tidak boleh mengambil alih peranan KKM, ini tidak betul," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada terdapat beberapa kelompongan dari segi mekanisme pengurusan krisis ketika ini yang sudah memasuki pusingan ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara.
"Oleh itu, di sinilah terletaknya peranan EAG, yang mana mereka boleh suarakan pandangan mahupun cadangan yang bersesuaian tentang bagaimana menangani wabak ini dengan lebih berkesan.
"Tetapi, peranan mereka akan menjadi tidak bermakna sekiranya pihak tertentu tidak mengambil kira pandangan kumpulan ini sebaliknya hanya dibakul sampahkan," tegas beliau. - DagangNews.com








