Tidak benar dakwaan aktiviti Quantum Metal telah diluluskan dan dilesenkan - Bank Negara Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tidak benar dakwaan aktiviti Quantum Metal telah diluluskan dan dilesenkan - Bank Negara Malaysia

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Jan - Nama Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) hangat diperkatakan pelabur syarikat itu kebelakangan ini apabila status pulangan pelaburan emas mereka mula menjadi tanda tanya.

 

Pelbagai alasan dan dakwaan berlegar di media sosial termasuk ada pihak berkaitan 'memetik' nama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meredakan isu yang melingkari QMSB.

 

Sehubungan itu, BNM hari ini tampil memberi penjelasan beberapa dakwaan salah yang tular termasuk dakwaan mengatakan aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM yang ditegaskan sebagai tidak benar.

 

Menurut BNM, QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kerana berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA.

 

Sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB dikehendaki melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.

 

"Walau bagaimanapun, dengan status QSMB sebagai institusi pelapor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya, seperti produk dan dagangan emas adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM. 

 

"Sebarang dakwaan bahawa aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM, secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar," kata BNM hari ini.


 

bnm

 


Menurut kenyataan itu, BNM juga telah maklum mengenai pelbagai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA. 

 

"BNM ingin menjelaskan bahawa sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu.

 

"Tiada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan oleh BNM. 

 

"Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut," kata kenyataan itu.

 

BNM juga pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan pelaburan. 

 

"Sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang yang berkaitan," tegas BNM.- DagangNews.com