Tidak banyak kesan serta-merta, kenaikan tarif hanya pada 2026 - Persatuan pengeluar sarung tangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tidak banyak kesan serta-merta, kenaikan tarif hanya pada 2026 - Persatuan pengeluar sarung tangan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mei - Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) tidak menjangkakan banyak kesan serta-merta daripada pengumuman kenaikan tarif ke atas produk China oleh Amerika Syarikat (AS).

 

Presiden MARGMA, Oon Kim Hung berkata, ini kerana langkah pentadbiran Joe Biden menaikkan tarif ke atas barangan China termasuk sarung tangan getah hanya akan berkuat kuasa pada 2026.

 

"Walaupun berita itu mungkin memberi petanda baik kepada pemain sarung tangan getah Malaysia, kami tidak menjangkakan banyak kesan serta-merta," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut Kim Hung, kira-kira 35% daripada eksport sarung tangan getah oleh ahli MARGMA adalah ke pasaran AS yang menyumbang kira-kira RM4 bilion pada tahun 2023.

 

"Walau bagaimanapun, kita tidak boleh lupa bahawa AS juga mempunyai pengeluaran domestiknya sendiri," jelasnya.

 

marg

 

ARTIKEL BERKAITAN: MIDF Research saran tunggu dan lihat kenaikan tarif sarung tangan China, AS ada sejarah 'pusingan U'

 

Sehubungan itu, beliau berkata, MARGMA percaya bahawa pengeluar Malaysia harus terus melabur dalam hal amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Langkah ke hadapan adalah untuk mewujudkan harga yang mampan dan saksama,” jelas Presiden MARGMA itu.

 

hartalega
AS umum kenaikan tarif ke atas sarung tangan perubatan dan pembedahan getah China daripada 7.5% kepada 25% pada 2026. - Gambar Hartalega

 

Industri sarung tangan getah Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan terpaksa bersaing dengan pengeluar China yang agresif di pasaran khususnya menawarkan harga yang rendah.

 

Produk sarung tangan getah Malaysia bagaimanapun mempunyai reputasi baik di pasaran AS berikutan kualiti yang lebih baik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kenaikan tarif AS ke atas produk China mungkin bawa impak positif kepada pembuat sarung tangan Malaysia


Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, saham pengeluar sarung tangan melonjak hari ini susulan berita tindakan AS meningkatkan tarif ke atas sarung tangan perubatan dan pembedahan getah China kepada 25% daripada 7.5%.

 

Saham Top Glove Corp Bhd, pengeluar sarung tangan terbesar di dunia dari segi kapasiti, naik sebanyak 29% kepada RM1.24 sesaham, tertinggi sejak Mei 2023, semasa sesi pagi. 

 

Pada waktu tengah hari, saham ini meningkat 25 sen atau 26.04%, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM9.88 bilion.


Jumlah perdagangan Top Glove melonjak kepada rekod lima bulan sebanyak 369.08 juta saham.- DagangNews.com