Tiada ‘sinar’ pemulihan untuk industri penerbangan tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada ‘sinar’ pemulihan untuk industri penerbangan tahun ini

Gambar Pixabay

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Harapan untuk industri penerbangan negara mencatatkan pemulihan segera selepas menjadi antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19 seolah-olah semakin ‘malap’.

 

Ini selepas MIDF Research menjangkakan pemulihan sektor itu berkemungkinan tidak berlaku pada tahun ini. 

 

Malah, penganalisisnya, Ummar Fitri menjangkakan trafik penumpang mungkin mencatatkan statistik yang lebih rendah berbanding tahun lalu. 

 

“Ini kemungkinan besar berlaku kerana pada suku pertama tahun kewangan 2020 (1QFY21), industri itu belum lagi terjejas teruk memandangkan jangkitan virus itu belum menular dengan luas. 

 

“Namun, sejak permulaan 1Q21, statistik operasi seperti penumpang yang dibawa dan jumlah kapal terbang hanya mencatatkan sejumlah kecil daripada sebelum ini. 

 

“Kini, dengan ‘lockdown’ 2.0, situasi ini mungkin berlanjutan sehingga 3Q21 atau lebih lagi,” jelas Ummar dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pemulihan penuh sektor itu untuk mencapai paras sebelum pandemik COVID-19 dijangka melebihi tahun 2022. 

 

Tambah beliau, ‘lockdown’ 2.0 ini menyakitkan buat industri tersebut dan dengan kes yang melebihi 6,000 setiap hari mungkin mengambil masa lebih lama untuk melandaikan lengkungan jangkitan.

 

Ini terusnya mencetuskan persoalan sejauh mana pemain industri penerbangan dapat bertahan memandangkan keupayaan kewangan mereka diperlukan untuk menempuhi waktu mencabar ketika ini, katanya lagi. 

 

Pada peringkat syarikat dalam industri penerbangan, Ummar melihat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mampu bertahan dengan lebih baik berbanding pemain industri lain kerana keupayaan kewangannya. 

 

AirAsia Group Berhad sebaliknya belum lagi mencapai sasaran kumpulan bagi mengumpul dana antara RM2.0 bilion hingga RM2.5 bilion untuk dapat bertahan ‘dengan selesa’ sehingga tahun 2022. 

 

“Setakat ini, mereka berjaya mengumpul kira-kira RM1.19 bilion menerusi pelbagai sumber seperti pinjaman, jualan, penyewaan semula enjin, penempatan saham dan mengurangkan kepentingan dalam AirAsia India (AAI),” katanya lagi. 

 

MIDF kekal ‘neutral’ terhadap sektor berkenaan dan meramalkan hanya sebahagian kecil permintaan perjalanan udara akan pulih pada tahun ini.

 

Menerusi pengedaran dan suntikan vaksin yang berterusan, firma penyelidikan itu percaya masih ada harapan pemulihan untuk pemain industri tersebut pada masa akan datang. - DagangNews.com