Tiada maklumat mengenai sistem gaji progresif dalam Belanjawan 2024 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada maklumat mengenai sistem gaji progresif dalam Belanjawan 2024 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Sistem gaji progresif, yang sering diuar-uarkan sebelum ini, tidak dibentangkan pada Belanjawan 2024 sedangkan ia merupakan dasar utama untuk mencapai sasaran Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan Ekonomi Madani, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

“Kami melihat sistem gaji progresif sebagai dasar utama bagi mencapai sasaran RMKe-12 dan Ekonomi Madani untuk meningkatkan bahagian pekerja dalam KDNK mengikut Pendapatan kepada 40% menjelang 2025 dan 45% menjelang 2033,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selain itu, Maybank IB berkata sistem gaji progresif juga menyokong sasaran NIMP 2030 menaikkan gaji median bulanan sektor pembuatan kepada RM4,510 pada 2030 berbanding RM2,503 pada suku pertama tahun ini.

 

Terdahulu, firma penyelidikan itu menjangkakan ia menjadi salah satu pengumuman dasar utama dalam Bajet 2024, terutamanya berikutan kenyataan Menteri Ekonomi bahawa sistem gaji progresif dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2024.

 

Ia merupakan dasar yang memerlukan kerajaan menyediakan insentif tunai (satu bentuk subsidi upah) untuk majikan yang mengambil bahagian secara sukarela dan menerima pakai PWS yang melengkapkan gaji minimum mandatori.

 

“Ini akan diberikan kepada majikan – terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) – tertakluk kepada bukti dan dokumentasi bahawa kedua-dua majikan dan pekerja memenuhi terma dan syarat PWS,” jelasnya.

 

Firma itu menambah bahawa langkah tersebut adalah termasuk keperluan kuantitatif dan kualitatif sistem/model seperti majikan menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah yang disasarkan dan/atau dilindungi di bawah sistem gaji progresif, serta pekerja meningkatkan produktiviti mereka, meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus dan program latihan yang diiktiraf kerajaan dan meluaskan skop kerja mereka.

 

Di samping itu, Maybank IB turut berkata terdapat kekurangan maklumat tarikh penguatkuasaan dan senarai barangan yang dikenakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi/Mewah, serta masa dan kuantum rasionalisasi subsidi bersasar melibatkan makanan, elektrik dan subsidi minyak, mungkin kerana langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 ini masih ‘kerja dalam proses’.

 

“Kemas kini terkini yang tersedia mengenai Pengkalan Data Utama (PADU) adalah ia telah siap 60% pada September 2023 dan akan menjalani percubaan pada November 2023 sebelum boleh diakses oleh orang ramai pada Januari 2024 untuk pengesahan maklumat peribadi.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan lebih banyak atau semua maklumat dan butiran mengenai rasionalisasi subsidi yang disasarkan akan diumumkan hanya selepas Januari 2024,” katanya.

 

Dengan keadaan tidak berubah berkenaan sistem, masa dan saiz rasionalisasi subsidi bersasar, Maybank IB berkata unjuran kadar inflasi rasmi 2024 adalah dalam julat luas dari 2.1% hingga 3.6%. - DagangNews.com