Thong Guan dijangka berdaya tahan pada FY24 dan jangka panjang walaupun berdepan cabaran makro – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Thong Guan dijangka berdaya tahan pada FY24 dan jangka panjang walaupun berdepan cabaran makro – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - Prospek tahun kewangan 2024 (FY24) dan jangka panjang Thong Guan Industries Berhad berdaya tahan walaupun berdepan cabaran makro, kata Kenanga Research susulan taklimat selepas keputusan kewangan dengan pengurusan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata Thong Guan dijangka menyaksikan peningkatan tempahan berikutan pelanggannya tergesa-gesa untuk menambah stok sebelum kenaikan harga, didorong oleh peningkatan kos resin input.

 

“Baru-baru ini Thong Guan telah melihat peningkatan tempahan untuk beg kurier dan filem regangan nano.

 

“Bagaimanapun, kami sedia maklum bahawa kemampanan pemulihan permintaan untuk produk pembungkusan plastik masih bergantung pada ekonomi global yang lebih kukuh,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Meskipun terdapat cabaran makro, firma tersebut menjangkakan permintaan untuk filem regangan, terutamanya filem regangan nano, kekal berdaya tahan memandangkan persaingan harga ditawarkan kumpulan itu, berbanding yang dihasilkan oleh pengeluar Eropah dan Amerika Syarikat, memandangkan Thong Guan mempunyai kos tenaga dan buruh rendah.

 

Di samping itu, teknologi proprietari kumpulan dalam menghasilkan filem nipis namun kukuh, menjadikan produknya lebih menjimatkan, mesra alam (iaitu menggunakan kurang resin untuk menghasilkan filem meter persegi yang sama) dan sesuai untuk pembungkusan automatik (kerana kekuatan tambahan).

 

“Kami juga menjangkakan permintaan untuk beg perindustrian kumpulan itu kekal teguh memandangkan ia digunakan terutamanya dalam sektor makanan dan minuman, serta barangan pengguna cepat laris (FMCG) yang kurang terjejas oleh kemelesetan ekonomi,” tmabahnya.

 

Sementara itu, rancangan kumpulan itu untuk menambah dua mesin juga berjalan seperti yang dirancang, di mana ia dijangka meningkatkan kapasiti filem regangan keseluruhannya sebanyak 25% hingga 30% dan membantunya membekalkan ke negara seperti Sepanyol, Mexico, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

 

Bagaimanapun, Thong Guan berdepan dengan kos eletrik lebih tinggi bermula Ogos 2023 sebanyak RM1 juta selepas menarik diri daripada program Tarif Elektrik Hijau (GET) dan bagi mengurangkan kesan, kumpulan itu bercadang menaikkan purata harga jualan dan meningkatkan pemasangan sistem solar fotovoltaiknya.

 

Oleh itu, Kenanga Resarch mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY23 sebanyak 5%, mencerminkan kos elektrik yang lebih tinggi, namun harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM3.05 sesaham dengan saranan ‘outperform’.

 

Setakat pukul 11:49 pagi ini, saham Thong Guan susut 1 sen atau 0.5% kepada RM2.02, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM801.7 juta.  - DagangNews.com