Terminal khas akan dibina di Pelabuhan Bintulu bagi sokong industri hidrogen - Premier Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terminal khas akan dibina di Pelabuhan Bintulu bagi sokong industri hidrogen - Premier Sarawak

Abang Johari Tun Openg dan Anthony Loke pada sidang media selepas Perjanjian Persefahaman Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini. Gambar FB UKAS
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Mac - Terminal khas bagi mengeksport hidrogen akan dibina di Pelabuhan Bintulu, kata Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

 

Menurut beliau, dari sudut pengendalian kargo termasuk eksport juga bakal bertambah kerana Pelabuhan Bintulu terletak di lokasi yang cukup strategik bagi laluan Barat dan Timur.

 

Justeru katanya, pembesaran dan naik taraf Pelabuhan Bintulu bagi melengkapi industri RE sememangnya dalam perancangan Kerajaan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030. 

 

"Saya percaya pembangunan masa depan akan bergantung kepada tenaga hijau dan tumpuan kita pada tenaga boleh baharu termasuk mengalu-alukan pelabur datang dan melabur di bidang berkaitan," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelabuhan Bintulu: Pelengkap strategi pembangunan ekonomi Sarawak

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perjanjian Persefahaman Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

 

Majlis itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Persekutuan manakala Sarawak diwakili oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

 

bip
Lebih 7,000 kapal melawat pelabuhan setiap tahun, dan ia mempunyai kapasiti pengendalian lebih daripada 69 juta tan dan lebih daripada 390 unit TEU. - Gambar BINTULU PORT

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelabuhan Bintulu diserah sepenuhnya kepada Sarawak menjelang 2025 selepas akta dimansuhkan - Anthony Loke

 

Tambah Abang Johari, kemajuan Pelabuhan Bintulu bukan sahaja memanfaatkan Sarawak tetapi Malaysia secara keseluruhannya kerana apa yang dibangunkan Sarawak dalam industri baharu bertepatan dengan perkembangan di peringkat global.

 

Katanya, dengan pengurusan pelabuhan di bawah Kerajaan Sarawak, usaha penyelarasan sumber eksport akan dapat dilakukan dengan baik menerusi pelabuhan yang strategik.

 

Sementara itu, Anthony dalam sidang media sama melahirkan harapan untuk melihat Pelabuhan Bintulu menjadi lebih maju di bawah kendalian Kerajaan Sarawak.

 

"Kita yakin Pelabuhan Bintulu akan menjadi pelabuhan yang utama bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Malaysia terutama sebagai pelabuhan LNG terulung dan dapat diperbesarkan lagi.

 

"Ini bagi menyokong industri minyak dan gas serta perindustrian di Bintulu dan Sarawak," jelasnya.


 

- DagangNews.com