KUALA LUMPUR 30 Julai - Pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang yang akan menyaksikan peningkatan jumlah penumpang kepada 8 juta orang setahun pada 2028 tidak akan sesekali menjejaskan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kapasiti Terminal 1 KLIA kini sudah mencapai had 25 juta penumpang dan KLIA 2 turut mengendalikan jumlah penumpang yang sangat ramai.
Katanya, sebab itu kerajaan memutuskan secara dasar untuk membenarkan kembali pesawat penumpang jet kembali beroperasi di Subang selepas 22 tahun iaitu pada 1 Ogos 2024 sebagai sebahagian daripada usaha mejadikan LTSAAS Subang sebagai sebuah lapangan terbang bandar.

"Dalam pelan pembangunan ini, sebuah terminal baharu akan dibangunkan yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang. Apabila ia beroperasi kelak sama ada pada 2027 atau 2028, LTSAAS, Subang dijangkakan mengendalikan 8 juta penumpang setahun.
"Sudah tentu slot penerbangan pesawat jet yang kini terhad dalam fasa interim kepada 16 penerbangan sehari membabitkan enam syarikat akan ditambah apabila terminal baharu siap.
"Begitu juga dengan laluan penerbangan yang bakal ditambah sejajar pembangunan semula," katanya selepas meninjau persiapan Malaysia Airports Holdings Berhad dan syarikat penerbangan terlibat dalam mengendalikan pesawat jet penumpang di LTSAAS, Subang hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim dan pengursan kanan syarikat penerbangan terlibat.
Kata Anthony Loke, terminal baharu adalah sebahagian daripada komponen pembangunan semula LTSAAS, Subang yang keseluruhannya melibatkan sebuah ekosistem industri penerbangan dengan pelbagai pekerjaan bergaji tinggi bakal ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
"Apabila KLIA dibuka pada 1998, semua operasi jet dipindahkan keseluruhannya di sana. Selepas 2002 tidak ada pesawat jet dibenarkan di Subang. Ini keputusan dasar kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: ExecuJet buka kemudahan MRO bertaraf dunia di Subang, hangar boleh muat hingga 15 pesawat
"Selepas 22 tahun kita lihat ada keperluan untuk bangunkan Subang sebagai city airport. Kita yakin ada ruang untuk membuka semula dan membangunkan ekosistem penerbangan dengan persekitaran LTSAAS dibangunkan fasiliti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat dan kemudahan ujian dron.
"Beberapa syarikat berkaitan MRO telah memulakan operasi di Subang dan beberapa lagi menyatakan minat dan ini satu industri yang mendapat fokus kerajaan," jelasnya.

Menurutnya, dalam fasa interim ini pun banyak permohonan diterima daripada pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa untuk beroperasi di Subang namun jumlahya perlu dihadkan bagi mengelakkan kesesakan dengan keutamaan kepada syarikat penerbangan tempatan.
Kata Anthony Loke, dalam fasa interim iaitu sehingga 2027, hanya Trans Nusa dan Scoot sahaja diberikan kebenaran dan jumlahnya hanya akan ditambah apabila terminal baharu siap.
Ditanya mengenai persiapan meningkatkan jaringan pengangkutan di LTSAAS berikutan isu kesesakan trafik di kawasan sekitar, beliau berkata:

"Rapid KL akan diminta bagi menyediakan perkhidmatan bas di antara LTSAAS dan stesen MRT berdekatan."
Begitu juga stesen KTMB Sky Park dijangka beoperasi semula sesuai dengan peningkatan permintaan kelak apabila LTSAAS menerima pertambahan penumpang.
Beliau juga mahu MAHB selaku pengendali lapangan terbang supaya mengatasi isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa sebaik LTSAAS kembali menerima pesawat jet penumpang 1 Ogos ini. - DagangNews.com








