KUALA LUMPUR 26 Mac – Zon Komersial Bebas 103° (103° FCZ) di Sunway City Iskandar Puteri kini mula beroperasi, menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan koridor logistik Johor–Singapura.
Pembangunan seluas 55 hektar itu merupakan hasil kerjasama antara Equalbase dan Sunway Group, dengan fasa pertama melibatkan dua gudang berkeluasan 1.5 juta kaki persegi yang telah mencapai kadar penghunian penuh.
Operator logistik antarabangsa termasuk DSV telah mula menjalankan operasi di gudang tersebut, mencerminkan permintaan kukuh terhadap infrastruktur logistik moden di rantau ini.
Kadar penghunian penuh pada peringkat awal pelancaran itu menunjukkan minat berterusan daripada pelabur dan syarikat global, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi utama pelaburan langsung asing (FDI).
103° FCZ juga merupakan zon komersial bebas mampan pertama dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, selain menjadi projek pertama yang menerima kelulusan pantas di bawah rangka kerja Johor Super Lane (JSL).
Gudang ketiga seluas 750,000 kaki persegi dijangka siap pada awal 2027, diikuti tambahan satu juta kaki persegi lagi menjelang awal 2028.
Secara keseluruhan, pelan induk pembangunan itu akan menyediakan lebih enam juta kaki persegi ruang industri bersepadu merangkumi empat fasa.
Kedudukan strategik antara Malaysia dan Singapura menjadikan 103° FCZ sebagai pintu masuk ekonomi penting di Asia Tenggara, khususnya dalam konteks perubahan landskap perdagangan global.
Ketika ini, banyak syarikat menilai semula strategi rantaian bekalan mereka dengan lokasi rentas sempadan yang sesuai untuk membolehkan operasi lebih cekap merentasi dua pasaran utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Equalbase, Nicholas Bischoff berkata, keperluan terhadap infrastruktur logistik yang mampan dan berdaya tahan semakin kritikal dalam keadaan rantaian bekalan global yang tidak menentu.
“Pengoperasian 103° FCZ membuktikan kerjasama strategik mampu menghasilkan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan perdagangan serantau serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata projek berkenaan memperkukuhkan lagi peranan kawasan itu sebagai nadi ekonomi utama dalam koridor pertumbuhan Johor-Singapura.
“Melalui kerjasama dengan Equalbase, kami membawakan infrastruktur logistik bertaraf dunia yang mematuhi piawaian ESG bagi melengkapkan integrasi antara perniagaan, bakat dan komuniti di sini.
“Fasa pembangunan seterusnya akan dipercepatkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, sekali gus menyokong perkembangan jangka panjang ekonomi di zon selatan negara,” katanya. - DagangNews.com








