KUALA LUMPUR 21 Jan - Zhulian Corporation Berhad mencatatkan kerugian bersih RM1.38 juta bagi suku keempat yang berakhir 30 November 2025, berbanding keuntungan bersih RM6.73 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi hambar ini disebabkan oleh penurunan hasil jualan keseluruhan, di samping pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan pendapatan eksport syarikat itu.
Pada masa sama jelasnya, faktor peningkatan kos operasi dan pelarasan operasi sekali sekala yang dilakukan dalam tempoh tersebut, turut menjejaskan pendapatan sekali gus mengakibatkan kerugian.
"Hasil susut 23% kepada RM24.4 juta berbanding RM31.9 juta pada suku keempat 2024, yang disebabkan kerugian pertukaran asing sebanyak RM2.8 juta," maklum Zhulian kepada Bursa Malaysia hari ini.
Peningkatan kos rasionalisasi operasi turut memberi kesan kepada pendapatan syarikat, namun bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, ia kekal mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM14.13 juta.
Bagaimanapun angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 39% berbanding RM23.44 juta yang dicatatkan pada 2024, dengan hasil tahunan kumpulan itu menyusut sedikit sebanyak 2% kepada RM123.6 juta.
Zhulian menjelaskan, penurunan keuntungan tahunan ini turut dipengaruhi oleh perkongsian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat sekutunya di Thailand, yang merosot 33% kepada RM7.9 juta.
"Situasi ini akibat perbelanjaan insentif pengedar yang tinggi bagi mengekalkan jualan, manakala prestasi jualan di pasaran utama menunjukkan trend penurunan bagi tempoh setahun," tambahnya lagi.
Sebaliknya hanya Kemboja mencatatkan peningkatan 7% kepada RM8.2 juta, tetapi Malaysia RM23.9 juta, iaitu penurunan 4%, manakala Thailand RM90.6 juta (turun 2%) dan lain-lain RM0.9 juta (turun 28%).
Walaupun berdepan cabaran, Lembaga Pengarah Zhulian masih mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 0.5 sen sesaham berjumlah RM2.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2025.
Sehingga 30 November 2025, kedudukan tunai dan setara tunai kumpulan itu berjumlah RM133.5 juta, susut daripada RM160.1 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan perbelanjaan operasi yang tinggi.
"Zhulian kekal berwaspada terhadap prospek industri jualan langsung yang mencabar ekoran sentimen pengguna yang lemah dan tekanan inflasi terhadap kos input produk," jelas kumpulan itu lagi.
Ia akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan memperkukuhkan sokongan kepada pemimpin perniagaannya untuk memastikan daya tahan jangka panjang. - DagangNews.com








