KUALA LUMPUR 1 April – Zecon Berhad, syarikat Bumiputera Sarawak dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan melantik Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 April 2026.
Pelantikan ini adalah langkah strategik Zecon untuk memperkukuh kepimpinan lembaga pengarah syarikat, khususnya dalam mengurus dan memacu projek-projek pembangunan utama termasuk Kota Petra Green Technology Park.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Zecon berkata Morshidi membawa lebih 40 tahun pengalaman dalam sektor awam dan korporat.
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Negeri Sarawak dari 2009 hingga 2019 dan memegang jawatan kanan dalam Jabatan Ketua Menteri Sarawak serta PETRONAS.
“Selain itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Majlis Bandaraya Kuching Utara, yang memberikan pengalaman luas dalam pengurusan bandar dan pembangunan infrastruktur,” katanya dalam makluman tersebut.
Ketika ini, Morshidi memegang beberapa jawatan penting lain termasuk Pengerusi di Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pengerusi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Pengerusi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS).
Selain itu, beliau juga berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah di Sarawak Energy Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zecon Berhad Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengalaman luas Morshidi dalam sektor awam dan swasta serta kepakarannya dalam tadbir urus lembaga dan penglibatan pihak berkepentingan akan memberi nilai tambah kepada pertumbuhan syarikat.
Kepakaran beliau akan memainkan peranan penting dalam pembangunan Kota Petra Green Technology Park, sebuah taman industri hijau berskala 3,000 ekar yang menjadi fokus utama Zecon pada fasa pertumbuhan seterusnya.
Morshidi mempunyai kelulusan Sarjana Sains dalam Pentadbiran Sumber Manusia dari University of Scranton, Pennsylvania, Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dan menerima Ijazah Kehormat dalam bidang Kemanusiaan. - DagangNews.com








