KUALA LUMPUR 17 Okt - Zecon Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Edra Power Holdings Sdn Bhd dan syarikat berpangkalan di Singapura, Neutrinos Engineering Pte Ltd bagi meneroka pembangunan Kompleks Tenaga Bersepadu (Integrated Energy Complex - IEC) di Kota Petra Green Technology Park, Kuching, Sarawak.
Dalam kenyataan Zecon berkata, Kompleks Tenaga Bersepadu tersebut akan merangkumi loji janakuasa solar fotovoltaik berkapasiti 200MWac yang menggabungkan sistem solar atas tanah dan solar terapung, serta loji turbin gas kitaran gabungan (combined-cycle gas turbine – CCGT) berkapasiti 500MW.
Kedua-dua loji ini akan menjadi teras kepada hab tenaga bersepadu pertama Sarawak berasaskan solar-gas-substesen, sekali gus menyediakan tenaga bersih dan boleh dipercayai bagi menyokong industri strategik seperti pusat data, pembuatan semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi berketepatan tinggi.
Projek ini akan dibangunkan di kawasan seluas 3,000 ekar yang telah diwartakan sebagai zon ekonomi dan taman teknologi hijau.
Pembangunan ini turut seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS) Sarawak dan Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Hijau negeri itu.
Majlis menandatangani MoU tiga pihak ini disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS), Datuk Amar Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Turut hadir Pengarah ASEAN bagi Jiangsu Guofu Hydrogen Energy Equipment Co. Ltd, Encik Jason Shen.
Pengarah Urusan Kumpulan Zecon Berhad, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pembangunan Kompleks Tenaga Bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap perindustrian hijau dan mampan di Sarawak.
“Pembangunan ini dijangka menarik pelaburan baharu melebihi RM3 bilion dan mewujudkan sehingga 2,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan operasi.
"Zecon juga memiliki Lesen Penjanaan Kuasa Solar selama 30 tahun dan status zon ekonomi KPGTP membolehkan pelaburan asing dengan pegangan 100%,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, pembangunan ini bukan sahaja memperkukuh kestabilan grid Sarawak, malah memposisikan negeri itu untuk integrasi masa depan tenaga hidrogen.
"Ia turut menyokong aspirasi negeri untuk membina hab tenaga rendah karbon bernilai tinggi, sekali gus menjadikan KPGTP sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini," katanya.
KPGTP merupakan Zon Ekonomi dan Taman Teknologi Hijau yang diluluskan, dengan sokongan daripada Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS).
Ia direka bentuk sebagai Taman Industri Terurus (Managed Industrial Park) yang akan menjadi pemangkin utama dalam peralihan Sarawak ke arah tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon.
Perjanjian ini turut menandakan satu pencapaian penting bagi Sarawak dalam memperkukuh kerjasama tenaga hijau peringkat antarabangsa, sekaligus menetapkan penanda aras baharu bagi penyelesaian tenaga mampan bersepadu di Malaysia. - DagangNews.com








