KUALA LUMPUR 29 Mei - YTL Power International Bhd. (YTLP) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh segmen pusat data (DC) apabila kapasiti yang telah dikontrakkan meningkat kepada 298MW setakat ini berbanding 188MW pada akhir Disember 2025, menurut penganalisis.
CGS International (CGSI) berkata, pengurusan syarikat memberitahu kapasiti operasi DC kini berada pada tahap 150MW setakat akhir Mac 2026 dan dijangka berkembang kepada 278MW menjelang akhir tahun kewangan 2027 (FY27).
Katanya, kumpulan itu kekal optimis untuk mencapai sasaran jangka panjang kapasiti DC sebanyak 1GW, sejajar pertumbuhan permintaan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di rantau ini.
“YTLP telah memulakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi mendapatkan tambahan bekalan kuasa melebihi 600MW yang telah diperoleh ketika ini.
“Selain itu, kumpulan turut aktif mencari tanah tambahan serta mengadakan rundingan bersama bakal pelanggan,” katanya dalam nota kajian hari ini.
CGSI mengekalkan saranan “TAMBAH” terhadap saham YTLP dengan harga sasaran (TP) RM4.60 berasaskan kaedah sum-of-parts (SOP).
Menurut firma itu, sebarang kelemahan harga saham susulan keputusan kewangan yang lemah dilihat sebagai peluang untuk pelabur mengumpul saham berkenaan.
Sementara itu MBSB Research berkata, segmen pusat data YTLP terus menunjukkan pertumbuhan kukuh apabila mencatatkan hasil sebanyak RM224.6 juta pada suku ketiga FY2026, meningkat 7.2 kali tahun ke tahun, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM59.3 juta, melonjak 5.2 kali ganda.
Prestasi tersebut turut menterjemahkan margin sebelum cukai sebanyak 26.4%, mencerminkan sumbangan yang semakin signifikan daripada segmen berkenaan kepada kumpulan utiliti dan tenaga itu.
Bagi tempoh kumulatif 9MFY26, segmen tersebut mencatatkan hasil sebanyak RM407.7 juta dan PBT RM101.2 juta, dengan margin sebelum cukai sebanyak 24.8%.
MBSB Research mengekalkan saranan BELI terhadap YTLP dengan TP disemak semula lebih tinggi kepada RM5.65 selepas mengambil kira semakan TP baharu bagi Ranhill Utilities Berhad.
"Kami terus positif terhadap YTL Power berikutan strategi pengembangannya dalam segmen pusat data, yang kini menjadi pemacu pertumbuhan baharu kumpulan," katanya.
Sementara itu RHB Research menurunkan unjuran pendapatan FY26F sebanyak 11% bagi mengambil kira prestasi lebih lemah daripada unit Singapura serta kerugian telco yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, unjuran FY27F dikekalkan dengan jangkaan pemulihan kukuh daripada segmen air dan pusat data yang semakin berkembang.
"Risiko utama yang dikenal pasti termasuk kemungkinan tarif runcit lebih rendah di Singapura, kos bahan api lebih tinggi serta kelewatan pelaksanaan projek pusat data," kata firma itu. - DagangNews.com








