YTL Hotels buat pelaburan pertama di New Zealand, ambil alih Hotel Indigo Auckland berharga RM388 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL Hotels buat pelaburan pertama di New Zealand, ambil alih Hotel Indigo Auckland berharga RM388 juta

Hotel Indigo, Auckland
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt – Anak syarikat YTL Corporation Bhd, YTL Hotels and Properties Sdn Bhd membuat pelaburan berjumlah NZ$160 juta (RM388 juta) bagi pengambilalihan Hotel Indigo di Auckland.

 

Ia adalah pelaburan hotel pertama kumpulan itu di New Zealand.

 

Hotel Indigo yang mempunyai 225 bilik itu terletak di St Patrick’s Square, kawasan pusat bandar Auckland yang menjadi tumpuan pelancong dan pelabur antarabangsa. 

 

Hotel bertaraf premium ini mempunyai  reka bentuk moden berkonsepkan bangunan warisan, lengkap dengan kemudahan seperti restoran, gimnasium dan ruang acara eksklusif.

 

Kedudukannya yang strategik hanya beberapa minit dari Queen Street, Civic Theatre dan Commercial Bay menjadikan hotel ini pilihan utama pelancong perniagaan serta pengunjung antarabangsa.

 

Pengarah Eksekutif YTL Hotels, Datuk Mark Yeoh berkata, pelaburan itu mengukuhkan lagi komitmen jangka panjang kumpulan terhadap sektor pelancongan dan hospitaliti di rantau tersebut.

 

“Pelaburan itu juga adalah langkah strategik YTL untuk mengukuhkan kehadiran dalam sektor hospitaliti Asia-Pasifik dan memanfaatkan potensi pertumbuhan pelancongan di New Zealand yang semakin pulih selepas pandemik,” katanya.

 

Menurut agensi kerajaan Invest New Zealand yang bertanggungjawab memudah cara pelaburan langsung asing, perjanjian itu adalah transaksi hotel kedua terbesar di New Zealand bagi tahun ini.

 

Pengumuman itu dibuat dalam majlis Malaysia-New Zealand Investment Announcements 2025 yang diadakan di Auckland, semalam.

 

Selain YTL, Yinson Holdings Bhd melalui anak syarikatnya, Yinson Renewables, turut akan melabur dalam pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di New Zealand. 

 

Syarikat itu dijangka membangunkan projek dengan kapasiti sekitar 1 gigawatt (GW), namun nilai pelaburan belum didedahkan.

 

Dalam majlis itu, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berkata, pelaburan oleh syarikat-syarikat Malaysia itu mencerminkan komitmen kukuh terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara.

 

“Kami amat menghargai hubungan dengan Malaysia serta semangat keusahawanan yang ditunjukkan oleh syarikat seperti YTL, Yinson dan banyak lagi perniagaan Malaysia lain,” katanya. - DagangNews.com