KUALA LUMPUR 12 Nov - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa bekas Ketua Pegawai Kewangan AT Systematization Berhad (ATS), kini dikenali sebagai Erdasan Group Berhad, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kerugian kepada syarikat itu berjumlah RM7.821 juta.
Tertuduh, Yong Man Chai, 47, berdepan 20 pertuduhan di bawah Seksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana didakwa membuat pembayaran kepada lima syarikat dengan niat menyebabkan kerugian kepada ATS.
Syarikat-syarikat terlibat ialah Delta Million Dynamic Sdn Bhd, Midas Mode Sdn Bhd, LMC Multi Trading, Midland Sands Sdn Bhd, dan Silver Metal Sdn Bhd. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Julai 2020 hingga Oktober 2021 di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut SC, Seksyen 317A(1) CMSA menetapkan mana-mana pengarah atau pegawai syarikat tersenarai tidak boleh melakukan apa-apa perbuatan dengan niat menyebabkan kerugian salah kepada syarikat tersenarai atau syarikat berkaitannya.
Jika disabitkan kesalahan, Yong boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda maksimum RM10 juta.
Yong mengaku tidak bersalah terhadap semua 20 pertuduhan yang dibacakan di tiga mahkamah berasingan dan dibenarkan ikat jamin keseluruhan berjumlah RM350,000.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail, beliau dikenakan jaminan RM160,000 dengan dua penjamin tempatan serta diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan.
Dua lagi mahkamah, di hadapan Hakim Suhaila Haron dan Azrul Darus, turut membenarkan jaminan masing-masing RM120,000 dan RM70,000 dengan syarat tambahan yang sama.
Sebelum ini, pada 8 Oktober 2025, bekas Pengarah Urusan ATS, Choong Lee Aun, turut didakwa atas kesalahan menyebabkan kerugian salah berjumlah RM16.35 juta kepada syarikat berkenaan.
Dalam kenyataan itu, SC berkata pertuduhan terhadap Yong berjaya dibuat hasil kerjasama erat antara SC dengan agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa, termasuk INTERPOL dan Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports (AVSEC).
Kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan SC dalam memastikan pelaku kesalahan di bawah undang-undang sekuriti dibawa ke muka pengadilan. - DagangNews.com








