KUALA LUMPUR 23 Jan – YNH Property Berhad mengumumkan keputusan strategiknya untuk menangguhkan pembayaran kupon bagi sekuriti kekal mereka bagi mengekalkan aliran tunai dalam kumpulan syarikat.
Langkah ini diambil bagi memastikan projek pembangunan yang sedang dijalankan dan keperluan operasi dapat diteruskan tanpa gangguan.
Pembayaran kupon yang ditangguhkan melibatkan siri PZ200008 yang sepatutnya dibayar pada 30 Januari 2026 dan PZ190009 pada 9 Februari 2026. Pemberitahuan rasmi mengenai penangguhan ini telah dihantar kepada ejen kemudahan dan pemegang amanah pada 23 Januari 2026.
YNH menegaskan bahawa penangguhan ini adalah sebahagian daripada struktur Perpetual Securities dan tidak dianggap sebagai kegagalan membayar atau default.
“Perjanjian Trust Deed membenarkan syarikat menangguhkan pembayaran kupon mengikut budi bicara pengurusan.
“Kupon yang ditangguhkan adalah kumulatif, bermakna jumlah yang belum dibayar akan terus bertambah dan dibayar pada masa hadapan kepada pemegang Perpetual Securities.
“Ini memberikan kepastian bahawa pemegang masih akan menerima pembayaran mereka walaupun ditangguhkan sementara,” katanya.
Keputusan untuk menangguhkan pembayaran kupon ini mencerminkan pendekatan berhemah dalam pengurusan modal dan aliran tunai.
Dengan mengekalkan tunai, YNH dapat menumpukan sumber kepada projek pembangunan, aset yang menjana pendapatan, serta keperluan operasi.
Lembaga Pengarah YNH Property Berhad berkata keputusan ini dibuat bagi memastikan kesinambungan projek dan pelaksanaan yang berdisiplin pada peringkat ini.
Langkah ini juga bertujuan untuk memelihara nilai jangka panjang bagi semua pihak berkepentingan.
Pengurusan syarikat terus memantau kedudukan aliran tunai bagi memastikan keseimbangan antara pelaksanaan projek dan komitmen pembayaran hutang dapat dikekalkan.
Mereka menegaskan bahawa fokus utama adalah menstabilkan operasi syarikat.
YNH Property Berhad merupakan kumpulan pembangunan hartanah dan pemegangan pelaburan yang beroperasi di Malaysia selama lebih empat dekad.
Aktiviti teras syarikat termasuk pembangunan hartanah, pembangunan bandar, dan pemilikan hartanah pelaburan terpilih.
Portfolio pembangunan YNH merangkumi projek bernilai tinggi di Lembah Klang termasuk Mont Kiara dan pusat bandar Kuala Lumpur, serta pembangunan bandar berskala besar di Perak. - DagangNews.com








