KUALA LUMPUR 29 Okt – Yinson Renewables menerima kelulusan daripada Pejabat Pelaburan Luar New Zealand (OIO) bagi pelaburan tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara itu, sekali gus membuka jalan untuk memajukan projek-projeknya.
Kelulusan OIO membolehkan Yinson Renewables meneruskan projek tenaga boleh diperbaharuinya di negara itu, selepas empat tahun aktif melabur dalam sektor tenaga angin.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Berhad, Lim Han Weng berkata, kelulusan ini menandakan langkah penting dalam perjalanan Yinson Renewables di New Zealand.
“Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, rakan tempatan dan komuniti bagi menyokong aspirasi tenaga boleh diperbaharui New Zealand,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon turut mengiktiraf pencapaian itu sebagai pelaburan besar dalam infrastruktur RE negara itu semasa mengumumkannya kepada media, semalam.
Sebelum itu, Luxon bertemu dengan pasukan kepimpinan Yinson untuk mendengar kemas kini terbaharu mengenai rancangan pelaburan jangka panjang dan kemajuan projek mereka di New Zealand.
Luxon berkata, pelaburan Yinson menunjukkan keyakinan terhadap New Zealand.
Negara itu mensasarkan untuk menggandakan pengeluaran tenaga boleh diperbaharuinya menjelang 2050 dan pelaburan Yinson, antara yang penting untuk mencapai sasaran tersebut.
Beliau juga menyatakan terdapat banyak peluang bagi kepakaran Yinson Renewables untuk menyokong masa depan tenaga lestari di New Zealand.
Pengurus Besar Invest New Zealand, Benny Goodman pula berkata, pengumuman pelaburan itu membuktikan New Zealand dilihat sebagai destinasi pelaburan yang dipercayai oleh pelabur global berkualiti tinggi dan menawarkan peluang pelaburan merentasi pelbagai sektor. - DagangNews.com








