KUALA LUMPUR 18 Dis – Yinson Renewables mengumumkan pengambilalihan hak ke atas Ladang Angin Mt Cass berkapasiti 94.6 megawatt (MW) di New Zealand daripada MainPower New Zealand Limited, menandakan kemasukan pertama syarikat itu ke dalam sektor tenaga angin di negara berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Yinson berkata aktiviti pembinaan projek tersebut dijangka bermula pada awal 2026, manakala operasi komersial disasarkan pada 2028.
Apabila siap sepenuhnya, Ladang Angin Mt Cass dijangka menjana lebih 300 gigawatt jam (GWh) elektrik setahun, mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada kira-kira 40,000 isi rumah.
Projek itu juga akan menjadi ladang angin pertama Yinson Renewables dalam portfolio projek di bawah pembinaan serta yang pertama di New Zealand.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Renewables David Brunt berkata projek berkenaan mempunyai nilai strategik yang penting kerana ia akan menambah kapasiti penjanaan elektrik yang amat diperlukan di kawasan selatan selain menyokong usaha New Zealand mencapai sasaran penyahkarbonan dan peralihan kepada tenaga bersih.
“Pemerolehan Ladang Angin Mt Cass mencerminkan peluasan signifikan kehadiran Yinson di New Zealand.
“Yinson Renewables juga berbesar hati menjadi pengeluar tenaga bebas global pertama yang memiliki dan membina ladang angin di negara itu, selaras dengan misi syarikat untuk menyediakan penyelesaian tenaga mampan dan menyokong peralihan tenaga New Zealand,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Negara Yinson Renewables di New Zealand Trevor Nash berkata projek Mt Cass merupakan teras strategi syarikat di negara berkenaan.
“Kami menantikan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan utama bagi merealisasikan lebih banyak projek tenaga bersih dan menyumbang kepada sasaran penyahkarbonan nasional,” katanya.
Yinson Renewables merupakan pengeluar tenaga boleh baharu bebas global dengan portfolio projek angin darat dan solar di Amerika Latin, Eropah dan Asia Pasifik.
Ketika ini, syarikat itu memiliki 557 MW aset penjanaan tenaga boleh baharu berskala utiliti yang sedang beroperasi, selain saluran paip lebih 0.9 gigawatt (GW) projek dalam pembangunan atau pembinaan serta lebih 2.4 GW peluang projek peringkat awal.
Yinson Renewables adalah sebahagian daripada Yinson Holdings Berhad, sebuah syarikat infrastruktur tenaga global yang terlibat dalam tenaga luar pesisir, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau. - DagangNews.com








