Yinson Production bekerjasama dengan syarikat Norway, Carbon Circle AS bangunkan perkhidmatan tangkap karbon di Eropah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson Production bekerjasama dengan syarikat Norway, Carbon Circle AS bangunkan perkhidmatan tangkap karbon di Eropah

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 10 Sept – Yinson Holdings Bhd menerusi syarikat rumusan tenaga luar pesisir dan pengeluaran, penyimpanan serta pemunggahan terapung miliknya, Yinson Production memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat berpangkalan di Norway, Carbon Circle AS, bagi membangunkan projek penangkapan karbon di Eropah.

 

Kedua-dua pihak berkata perjanjian itu memberi tumpuan kepada pembangunan penangkapan karbon sebagai perkhidmatan CCaaS (carbon capture as a service) untuk penyumbang pelepasan industri di rantau tersebut.

 

“Kerjasama ini bertujuan menangkap karbon dioksida daripada proses kimia dan pembakaran untuk seterusnya diangkut dan disimpan secara kekal dalam simpanan geologi, menyokong usaha penyumbang pelepasan dalam perjalanan nyahkarbon mereka sambil menyumbang kepada matlamat kelestarian serantau dan global,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

 

Mereka menambah, kerjasama ini dibina berasaskan kejayaan pelaksanaan unit penangkapan karbon pasca-pembakaran luar pesisir pertama di dunia, yang dipasang di FPSO Agogo milik Yinson Production di Angola.

 

 

yinson
Dari kiri: Emil Talberg, Ketua Usaha Karbon Rendah Yinson Production; Lars Gunnar Vogt, Ketua Pegawai Teknikal Yinson Production; Geir Otto Amundsen, CEO Carbon Circle; dan Kristian Kjæstad, Ketua Pegawai Pembangunan, Carbon Circle.

 

yinson

 

yinson

 

 

Ketua Pegawai Teknikal Yinson Production, Lars Gunnar Vogt berkata perkongsian ini selaras dengan usaha lebih luas syarikat dalam rantaian nilai penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

 

“Bersama-sama, kami meneroka batas baharu bagi menjadikan pengurangan karbon dapat diskalakan, dapat dicapai dan bermakna untuk alam sekitar,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Carbon Circle, Geir Otto Amundsen menyifatkan Yinson Production sebagai rakan kongsi semula jadi dalam segmen CCS.

 

“Berdasarkan pengalaman yang diperoleh daripada projek CCS Agogo, perjanjian kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting, yang membuka jalan untuk kesinambungan kerjasama dan kejayaan masa hadapan,” tambahnya.  - DagangNews.com