KUALA LUMPUR 19 Mac - Yinson Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan stabil bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (Q4FY26), disokong peningkatan sumbangan operasi daripada aset terapung pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang memasuki fasa pajakan.
Kumpulan itu melaporkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM228 juta bagi suku berkenaan, kekal stabil berbanding suku sebelumnya.
Bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, Yinson turut meningkatkan jumlah dividen kepada 5 sen sesaham, meningkat 22% berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan keupayaan syarikat menjana aliran tunai apabila lebih banyak aset mula beroperasi.
Dari segi perbandingan tahun ke tahun, hasil kumpulan susut 28% kepada RM5.44 bilion berikutan sumbangan lebih rendah daripada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC), susulan beberapa projek FPSO termasuk Maria Quitéria, Atlanta dan Agogo telah beralih ke fasa pajakan.
Bagaimanapun, penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan sumbangan operasi daripada aset tersebut serta pengiktirafan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM340 juta hasil penebusan pinjaman projek berkaitan FPSO Atlanta pada suku sebelumnya.
EBITDA turut menurun 12% kepada RM2.85 bilion, dipengaruhi peningkatan kos pentadbiran susulan peralihan daripada fasa pelaburan modal tinggi kepada fasa operasi, selain kerugian rosot nilai sebanyak RM221 juta dalam segmen tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.
Keuntungan selepas cukai pula merosot 52% kepada RM753 juta berbanding RM1.59 bilion pada tempoh sama tahun lalu, turut dipengaruhi ketiadaan kredit cukai sekali sahaja sebanyak RM704 juta yang direkodkan pada Q4FY25.
Secara suku ke suku, hasil berkurangan 35% kepada RM1.12 bilion berikutan sumbangan EPCIC yang lebih rendah serta ketiadaan keuntungan sekali sahaja, manakala EBITDA susut 14% kepada RM675 juta.
Namun, keuntungan selepas cukai meningkat sedikit sebanyak 2% kepada RM251 juta, disokong peningkatan sumbangan daripada usaha sama dan syarikat bersekutu.
Dividen dan Pembelian Balik Saham
Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM29 juta, dengan tarikh kelayakan pada 4 Jun 2026 dan pembayaran pada 18 Jun 2026.
Sehingga 17 Mac 2026, kumpulan itu telah membeli balik 111.08 juta saham pada harga purata RM2.20 sesaham dengan jumlah perbelanjaan RM244 juta.
Perkembangan Operasi dan Strategi
Dalam perkembangan operasi, unit Yinson Renewables memperoleh Ladang Angin Mt Cass berkapasiti 94.6 megawatt (MW) di New Zealand, selain memeterai perjanjian pembelian tenaga selama 15 tahun serta perjanjian eksklusiviti dengan Genesis Energy.
Sementara itu, Yinson GreenTech menjalin kerjasama dengan Toll Group bagi melancarkan hab penyahkarbonan maritim pertama di Singapura, selain memperluaskan program pajakan kenderaan elektrik dalam sektor e-hailing dan logistik.
Dalam segmen pengeluaran luar pesisir, Yinson Production terus menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan dengan kemajuan projek pembinaan yang kukuh, termasuk pencapaian penting bagi projek FSO Block B dan PTSC LDV di Vietnam.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Lim Han Weng berkata prestasi stabil kumpulan terus disokong oleh sumbangan konsisten semua unit perniagaan serta permintaan yang semakin meningkat terhadap rumusan tenaga bersih.
Menurut beliau, perkembangan dalam segmen tenaga boleh baharu dan teknologi hijau menunjukkan pasaran semakin matang, sekali gus mengukuhkan kedudukan Yinson sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga global. - DagangNews.com








