KUALA LUMPUR 7 Julai –Yinson Holdings Berhad telah membina tiga kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) di Brazil yang dijangka menjana nilai kontrak keseluruhan lebih AS$12 bilion sehingga tahun 2045.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng berkata, kesemua projek itu adalah hasil kerjasama erat syarikat bersama pelanggan, rakan kongsi, kerajaan Brazil, badan kawal selia dan rantaian bekalan tempatan.
"Ia mencerminkan potensi luar biasa yang boleh dicapai hasil gabungan keupayaan dan kepakaran kedua-dua negara," katanya ketika berucap dalam satu majlis makan malam di Rio de Janeiro baru-baru ini.
Majlis tersebut dihoskan oleh Yinson Production khas untuk meraikan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke Brazil sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-16 yang berlangsung dari 6 hingga 7 Julai.
Majlis yang bertemakan 'Perkongsian untuk Kemajuan' itu diadakan untuk meraikan pencapaian penting Yinson iaitu kejayaan mengeluarkan minyak buat kali pertama daripada FPSO Atlanta.
ARTIKEL BERKAITAN: BRICS tawar peluang pasaran baharu kepada perniagaan Malaysia - PM Anwar
FPSO Atlanta ialah kapal pengeluaran minyak terapung milik Yinson iaitu aset ketiga syarikat itu di Brazil yang dibina khas untuk pelanggan mereka, Brava Energia.
Turut hadir dalam majlis makan malam tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Petroleum, Gas Asli dan Biofuel Kementerian Perlombongan dan Tenaga Brazil, Pietro Adamo Sampaio Mendes; Pengerusi Lembaga Pengarah Petrobras serta Duta Besar Brazil ke Malaysia, TYT Daniella Ortega de Paiva Menezes.
Kehadiran turut disertai oleh barisan kepimpinan kanan Yinson, wakil Brava Energia serta pasukan Yinson Brazil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Grønnegaard berkata, kerjasama dengan Brava Energia mencerminkan sinergi tulen yang dibina atas kepercayaan dan matlamat bersama.
"Dari reka bentuk dan pembinaan hingga ke operasi, kami bekerjasama rapat berasaskan prinsip saling menghormati dan kepakaran teknikal untuk mencapai visi bersama.
"Projek kami di Brazil turut menerajui inovasi dalam tenaga luar pesisir seperti reka bentuk cekap tenaga dan teknologi karbon rendah sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam industri FPSO global," katanya.
Sebelum ini, Yinson juga pernah meraikan lawatan Perdana Menteri ke Rio de Janeiro pada November 2024 bagi memperingati hubungan erat dua hala serta peranan penting Yinson dalam sektor tenaga Brazil melalui aset FPSO miliknya. - DagangNews.com








