KUALA LUMPUR 27 Mac – Lonjakan permintaan perjalanan insentif ke Eropah menjadi pemangkin utama Yes Group Management Berhad untuk merancang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Menurut prospektusnya, syarikat itu bercadang memperluaskan operasi termasuk menubuhkan pejabat serantau di Britain, selain perkhidmatan pengurusan perjalanan darat di Eropah pada masa hadapan.
Sebahagian hasil tawaran awam permulaan (IPO) turut akan disalurkan kepada penubuhan Yes Academy, sebuah pusat latihan bagi melahirkan pemandu pelancong dan pengurus acara bagi menyokong industri.
"Ini termasuk bagi memenuhi industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE)," kata Yes Group dalam kenyataan hari ini. Ia diasaskan pada 2008 oleh Pengarah Urusannya, Angela Mak.
Kumpulan berkenaan turut memberi tumpuan kepada rumusan perjalanan insentif yang disesuaikan dan perancangan pelbagai acara untuk pelanggan korporat dalam pelbagai industri di seluruh negara.
Syarikat tersebut juga memiliki lesen di bawah program 'Malaysia My Second Home' (MM2H), yang membolehkan rakyat asing dapat menetap di Malaysia namun masih tertakluk kepada syarat tertentu.
Cadangan IPO Yes Group melibatkan penerbitan 73.01 juta saham baharu, termasuk 23.4 juta saham untuk pelabur awam, manakala 44.93 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian.
"Selain itu, tawaran jualan sebanyak 48.67 juta saham sedia ada oleh Angela Mak akan dilaksanakan, dengan pegangan saham beliau dijangka berkurangan kepada 74% selepas penyenaraian ini," katanya.
Tambah Yes Group, bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2025 (FY25), kumpulan tersebut berjaya mencatatkan keuntungan bersih mencecah RM7.34 juta dengan hasil sebanyak RM75.47 juta.
Langkah penyenaraian ini dibuat ketika Malaysia giat mempromosikan kempen pelancongan negara, namun masih berdepan risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah.
Malacca Securities Sdn Bhd dilantik untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com








