Yeo's akan berhentikan 25 pekerja di Singapura, operasi pengeluaran tin dipindahkan ke Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yeo's akan berhentikan 25 pekerja di Singapura, operasi pengeluaran tin dipindahkan ke Malaysia

Kilang Yeo's di Singapura - Gambar kredit Asiaone
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac – Yeo Hiap Seng (Yeo’s) akan memberhentikan 25 pekerja di kilang Senoko, Singapura susulan langkah syarikat menggabungkan operasi pembuatan tin  di Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Singapura, syarikat pengeluar minuman itu berkata tindakan ini akan meningkatkan kecekapan dan penggunaan kapasiti di kilang Johor dan Selangor.

 

“Walaupun beberapa pekerja akan terjejas, kilang Senoko tetap berfungsi sebagai ibu pejabat kumpulan serta pusat logistik rentas sempadan dan pusat pembuatan berskala kecil.

 

 

 

 

 

 

“Pekerja yang terlibat akan menerima faedah pemberhentian mengikut garis panduan pihak berkuasa di Singapura, termasuk bantuan penempatan kerja, sokongan kerjaya dan kaunseling,” katanya dalam makluman itu.

 

Syarikat itu turut menyatakan mereka akan menawarkan jawatan yang sesuai untuk operasi Yeo’s di Malaysia kepada pekerja yang terjejas sekiranya boleh.

 

Langkah Yeo’s ini diumumkan seminggu selepas Asia Pacific Breweries Singapore, pemilik Tiger Beer dan subsidiari penuh Heineken, mengumumkan penutupan operasi pembuatan besar-besaran di Republik Singapura dalam tempoh dua tahun, yang melibatkan pemecatan 130 pekerja.

 

Pengurangan pekerja oleh syarikat minuman ini menunjukkan trend penstrukturan semula industri minuman di Singapura, yang bertujuan menumpukan operasi di lokasi yang lebih strategik dan efisien.- DagangNews.com