YBS International lengkapkan pengambilalihan Allied Technologies, sasar kapasiti RM400 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YBS International lengkapkan pengambilalihan Allied Technologies, sasar kapasiti RM400 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Jan – YBS International Bhd pada Jumaat menandatangani perjanjian bagi pengambilalihan kumpulan syarikat Allied Technologies.

 

Dalam satu kenyataan, YBS International berkata, pengambilalihan tersebut dijangka meningkatkan tenaga kerja kepada 3,000 pekerja, selain memperluaskan kemudahan sedia ada di Johor Bahru dan Melaka serta menambah operasi antarabangsa baharu di Vietnam dan Bangkok.

 

Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif YBS International, Yong Chan Cheah berkata, pihaknya menjangkakan tempoh dua hingga tiga tahun diperlukan bagi melengkapkan integrasi pelaburan tersebut.

 

“Syarikat menyedari ia akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk mengintegrasikan sepenuhnya pelaburan ini, ketika kami berusaha menukar asas RM100 juta sedia ada kepada RM400 juta kapasiti bernilai tinggi yang mampan,” katanya.

 

Perjanjian itu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada September 2024, apabila YBS International yang berpangkalan di Pulau Pinang bersetuju untuk memperoleh unit milik Allied Technologies Holdings Pte Ltd pada harga indikatif keseluruhan AS$38 juta (RM167.2 juta) menerusi gabungan tunai dan terbitan saham.

 

Unit Allied Technologies yang terlibat menyediakan perkhidmatan pembuatan berketepatan tinggi, merangkumi reka bentuk, pembangunan produk dan prototaip, pembuatan acuan dan alat, pengeluaran serta perkhidmatan sub-pemasangan mekanikal. 

 

Pelanggannya kebanyakannya terdiri daripada syarikat dalam industri komputer dan peranti komputer.

 

“Pengambilalihan ini menjadi teras kepada peluasan serantau berskala besar,” kata YBS International dalam kenyataan bersama Invest Penang dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd, yang telah menyediakan pembiayaan Islam dalam denominasi dolar AS bagi menyokong pengambilalihan tersebut. - DagangNews.com