Yayasan Terengganu, Batik Air bekerjasama dalam program latihan kejuruteraan penyelenggaraan pesawat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Terengganu, Batik Air bekerjasama dalam program latihan kejuruteraan penyelenggaraan pesawat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 4 Feb – Yayasan Terengganu memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Batik Air bagi melahirkan tenaga mahir tempatan dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan pesawat, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di negeri itu.

 

Kerjasama strategik tersebut memberi tumpuan kepada penajaan dan latihan khusus bagi memperoleh lesen Civil Aviation Authority (CAA) 466 kategori A1, iaitu lesen profesional yang melayakkan pemegangnya mengesahkan kerja-kerja teknikal penyelenggaraan pesawat.

 

Melalui inisiatif itu, seramai 10 anak Terengganu dipilih sebagai kumpulan perintis untuk mengikuti program pengajian dan latihan di tempat kerja (on-the-job training) yang merangkumi pendedahan teknikal mendalam terhadap sistem kritikal pesawat, termasuk enjin, struktur pesawat, sistem bahan api, pneumatik dan hidraulik.

 

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program berkenaan berpotensi menjadi pemangkin perubahan besar kepada peserta kerana lesen tersebut membuka laluan kepada kelayakan spesisifik pesawat tertentu, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri penerbangan yang berteknologi tinggi dan sangat terkawal.

 

“Penyelenggaraan pesawat memerlukan kepakaran yang sangat khusus memandangkan pesawat terdedah kepada tekanan, perubahan suhu dan tekanan kitaran yang ekstrem ketika operasi. 

 

“Justeru, keupayaan untuk mengesan kerosakan kecil melalui kaedah ujian tidak musnah (NDT) adalah antara kemahiran kritikal yang ditekankan dalam latihan berkenaan.

 

“Dalam industri penerbangan, penyelenggaraan dibuat secara berjadual dan berdisiplin tinggi, bukan menunggu kegagalan berlaku. Ini memerlukan jurutera yang terlatih, bertauliah dan berlesen untuk memastikan setiap pesawat benar-benar selamat sebelum dibenarkan terbang,” katanya.

 

t

 

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis menandatangani MoA antara Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman hari ini.

 

Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut berkesempatan membuat panggilan video bersama 10 pelatih yang sedang menjalani kursus tersebut di Batik Air dan bertanyakan perkembangan terkini mereka.

 

Beliau berkata kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada Batik Air atas kesediaan membuka ruang latihan dan kerjasama kepada anak-anak Terengganu serta berharap agar lebih banyak syarikat tempatan dan multinasional tampil menjalin kerjasama seumpama itu pada masa hadapan.

 

“Pendekatan ini bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, tetapi membekalkan ilmu dan kemahiran yang membolehkan generasi muda berdikari dan membina masa depan mereka sendiri,” katanya. - DagangNews.com