Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu salur RM30.94 juta bantu 5,294 peniaga sejak 2019 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu salur RM30.94 juta bantu 5,294 peniaga sejak 2019

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 29 Okt – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) telah menyalurkan RM30.94 juta pembiayaan serta geran perniagaan kepada 5,294 usahawan di seluruh negeri sejak tahun 2019.

 

Semua bantuan tersebut diagihkan menerusi beberapa skim yang diperkenalkan mengikut ciri tertentu seperti Skim Pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (Tugas), Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dan kategori khas untuk golongan Orang Kurang Upaya.

 

Terbaharu, YPU menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.25 juta kepada 171 usahawan tempatan.

 

 

 

 

 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1,004,445.60  diagihkan kepada 42 usahawan dengan jumlah pembiayaan antara RM7,000 hingga RM50,000 setiap seorang.

 

Selain itu, Dana Usahawan Terengganu pula melibatkan peruntukan sebanyak RM249,131.44 kepada 129 usahawan daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata,

 

Skim TUGAS bukan sekadar bantuan kewangan tetapi mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai tulang belakang ekonomi negeri.

 

“Usahawan perlu menggunakan pembiayaan dengan penuh tanggungjawab bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh pengurusan perniagaan serta meneroka pasaran baharu termasuk melalui penggunaan teknologi.

 

“Setiap bayaran balik yang dibuat akan digunakan semula untuk membantu usahawan lain yang memerlukan. 

 

“Sekiranya bayaran tidak dibuat mengikut jadual, ia boleh menjejaskan rekod kredit peminjam dan memberi kesan kepada kelangsungan program pembiayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

 

 

 

 

Bagi siri pertama pelaksanaan Dana Usahawan Terengganu, seramai 129 usahawan akan menerima bantuan perniagaan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM249,131.

 

Buat permulaan, ia disalurkan kepada usahawan dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Air Putih, Bandar, Kuala Berang, Jertih dan Kijal sebelum diperluaskan secara berperingkat.- DagangNews.com