Yayasan Hijrah Selangor rai 172 usahawan mikro di majlis apresiasi 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Hijrah Selangor rai 172 usahawan mikro di majlis apresiasi 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt – Yayasan Hijrah Selangor menganjurkan Majlis Apresiasi Program Pembangunan Usahawan 2025 bagi menghargai usaha 172 usahawan mikro yang terlibat dalam inisiatif tersebut.

 

Program berimpak tinggi itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan disokong oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan Selangor melalui latihan literasi kewangan, strategi perniagaan dan pengurusan kewangan digital.

 

Majlis itu meraikan 74 peserta cemerlang di bawah Program Pembangunan Keusahawanan dan menjadi platform memperkukuh kerjasama antara Hijrah Selangor, AKPK dan CGC dalam membangunkan ekosistem keusahawanan digital negeri.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor, Nilammasri Jaafar berkata, melalui latihan berstruktur dan penggunaan aplikasi MyBijakNiaga, para usahawan kini lebih bersedia menghadapi cabaran perniagaan digital dengan disiplin dalam pengurusan kewangan, celik teknologi serta keupayaan mengurus transaksi secara sistematik.

 

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran perniagaan, tetapi turut menanam kesedaran tentang kepentingan disiplin bayaran balik pembiayaan bagi membina rekod kredit yang baik. 

 

“Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kemahiran pengurusan tunai, perakaunan asas dan e-invois yang menjadi asas kepada budaya kewangan mampan dalam kalangan usahawan Hijrah Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada usahawan cemerlang termasuk Ikon Spotlight EDP kepada 10 peserta berprestasi tinggi, Anugerah Go-Getter MyBijakNiaga kepada seorang usahawan aktif menggunakan aplikasi digital dan Anugerah Khas kepada dua penerima yang memberi sumbangan dalam aktiviti khas bersama AKPK.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, kajian pihaknya mendapati masih ramai usahawan mikro memerlukan peningkatan kemahiran pengurusan kewangan. 

 

“Melalui kerjasama bersama Hijrah Selangor, AKPK menyediakan panduan dan alat digital seperti MyBijakNiaga bagi membantu usahawan merekod transaksi, menjejak aliran tunai dan mengurus kewangan perniagaan secara sistematik,” katanya.

 

Program Pembangunan Usahawan 2025 ini turut menyokong agenda pendigitalan dan kelestarian ekonomi rakyat Selangor, mengukuhkan komitmen Hijrah Selangor sebagai nadi ekosistem keusahawanan digital yang berdaya tahan, inovatif dan bersedia menghadapi ekonomi digital masa kini. - DagangNews.com