KUALA LUMPUR 4 Mac — XOX Berhad melantik Datuk Kenneth Vun Yun Lun sebagai Pengarah Urusan baharunya, yang menandakan kepada fasa pertumbuhan dan era inovasi untuk syarikat telekomunikasi tempatan itu.
Dengan pengalaman luas selama lebih 30 tahun, beliau pernah menerajui perniagaan yang merentasi pelbagai sektor, termasuk teknologi, kewangan, pembangunan hartanah serta industri makanan dan minuman.
Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut berkata bahawa pelantikan Vun mencerminkan dedikasi mereka untuk terus memacu ekonomi digital baharu yang didorong oleh tren teknologi kecerdasan buatan di Malaysia.
Selain itu, Vun juga pernah mengasaskan syarikat teknologi maklumat yang pertamanya di Sabah sebelum beliau mengembangkan lagi operasi perkhidmatan ke seluruh Malaysia, Singapura, Hong Kong dan China.
Antara pencapaian pentingnya termasuk menjadi Top Nominee Ernst & Young Entrepreneur of the Year (2004), menerima Anugerah TOYM Outstanding Young Malaysian (2006) dan APEA Outstanding Entrepreneur (2007).
Beliau juga pernah disenaraikan dalam Deloitte Technology Fast 500 Asia Pacific pada 2005 dan seterusnya telah meraih pengiktirafan berprestij sebagai PIKOM Malaysia Key Industry Leader setahun kemudian.
XOX berkata bahawa ia sedang memulakan fasa transformasi dengan pelantikan Vun itu, sejajar dengan kemasukan pelaburan besar daripada VCAP Global Inc melalui 17 juta saham biasa pada 25 Februari 2025.
"Menurut notis yang diterima Bursa Malaysia pada 26 Februari 2025, penglibatan VCAP Global Inc mewakili sebanyak 8.09 peratus kepentingan langsung dalam syarikat tersebut," tambah kenyataan itu.
Pelaburan strategik berkenaan ujarnya, turut mencerminkan keyakinan yang kukuh terhadap visi dan potensi pertumbuhan XOX dalam inovasi, pengukuhan perniagaan telekomunikasi dan ekonomi digital.
XOX yang ditubuhkan pada 2004 dan telah disenaraikan di bursa sejak 2011 dengan 2.5 juta pelanggan itu, malah bersedia mengembangkan kehadiran dalam pasaran dan memacu kemampanan jangka panjang. - DagangNews.com








