KUALA LUMPUR 15 Mei - Westports Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM326.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), meningkat 46.8% berbanding RM222.46 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumpulan turut meningkat 44.2% kepada RM896.28 juta daripada RM621.29 juta sebelum ini, didorong pertumbuhan pendapatan berkaitan kontena.
Pengendali pelabuhan itu berkata, hasil operasi kumpulan mencecah RM753 juta, meningkat 27% tahun ke tahun susulan peningkatan hasil berkaitan kontena.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku dikaji.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Westports berkata, krisis di Asia Barat ketika ini telah mengganggu bekalan tenaga global serta menyebabkan kenaikan ketara harga bahan api.
Menurutnya, kos bahan api dijangka meningkat dengan ketara sekiranya harga semasa kekal tinggi dalam tempoh berpanjangan.
“Harga tenaga global yang kekal tinggi turut berpotensi mencetuskan tekanan inflasi terhadap ekonomi dunia, sekali gus mengurangkan kuasa beli pengguna serta menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan.
“Keadaan itu boleh memaksa langkah penjimatan dilaksanakan dan berisiko menolak ekonomi ke arah kemelesetan,” katanya.
Westports turut memaklumkan industri perkapalan kontena kini mula mengubah laluan pelabuhan dan mengalihkan penghantaran kontena bagi mengelakkan pelayaran melalui Selat Hormuz susulan ketidaktentuan geopolitik semasa.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, syarikat itu masih mengekalkan unjuran pertumbuhan positif satu digit bagi jumlah pengendalian kontena buat masa ini.
Namun, Westports berkata, panduan itu mungkin disemak semula sekiranya keadaan mencabar berterusan atau jumlah dagangan merosot dengan ketara dalam tempoh mendatang. - DagangNews.com








