KUALA LUMPUR 24 Okt – Wellspire Holdings Berhad mengumumkan pembelian 65.72 peratus pegangan ekuiti dalam Tian An Trading Sdn Bhd, bernilai RM4.5 juta, sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran pengedaran makanan pengguna di rantau ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Wellspire berkata syarikat itu telah menandatangani Perjanjian Jual Beli Bersyarat (SPA) dengan Yap Chee Kheng, bagi pengambilalihan 1,533,354 saham biasa dalam Tian An, yang akan dibiayai sepenuhnya melalui tunai dalaman syarikat.
Menurut Wellspire, langkah tersebut sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh dan memperluas aktiviti perdagangan serta pengedaran produk makanan berbungkus pengguna, termasuk konfeksi, makanan ringan, makanan kering, makanan pra-masak dan bahan perasa.
“Pengambilalihan ini akan memperluas rangkaian produk kami dan memperkukuh kehadiran di pasaran utama seperti Thailand, Malaysia dan Singapura, selain membuka peluang jualan silang merentas jenama dan pasaran,” kata syarikat itu.
Wellspire menambah, Tian An mempunyai rangkaian pembekal dan pelanggan yang kukuh, bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.
Kelebihan ini dijangka membantu kumpulan memperluas capaian pasaran, memperkukuh saluran pengedaran dan meningkatkan kehadiran jenama di rantau ini.
Selain itu, Tian An memiliki infrastruktur lengkap termasuk kemudahan simpanan kering dan kawalan suhu serta armada pengangkutan sendiri yang meliputi pasar raya besar, kedai serbaneka, pemborong, kedai khusus dan sektor hotel, restoran dan katering.
“Melalui integrasi kemudahan Tian An dengan operasi sedia ada Wellspire, kumpulan dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, menurunkan kos pengedaran serta mengurangkan kebergantungan kepada penyedia logistik pihak ketiga,” jelas Wellspire.
Wellspire menjangkakan pengambilalihan itu akan menyumbang kepada hasil dan keuntungan kumpulan menerusi aliran pendapatan yang berterusan daripada Tian An.
“Transaksi ini akan memberi nilai strategik kepada kumpulan dengan memperkukuh rangkaian pengedaran, menyokong pertumbuhan jangka panjang dan meningkatkan nilai kepada pemegang saham,” tambah syarikat itu.
Harga pembelian sebanyak RM4.5 juta ditetapkan berdasarkan prinsip “willing buyer, willing seller”, selepas mengambil kira Nilai Aset Bersih (NA) Tian An sebanyak RM3.9 juta berdasarkan penyata kewangan teraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, serta potensi strategik pengambilalihan tersebut.
Menurut Wellspire, pembayaran akan dibuat sepenuhnya secara tunai, melibatkan deposit sebanyak RM450,000 (10%) dibayar kepada penjual semasa menandatangani perjanjian; dan baki pembayaran akan dibuat selepas penyerahan dokumen lengkap penyiapan transaksi, selepas ditolak hutang bersih antara syarikat berkaitan penjual dan Tian An. - DagangNews.com








