KUALA LUMPUR 21 Jan — WCE Holdings Berhad melantik Datuk Ir Rosaline Ganendra sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif dalam kumpulan tersebut yang mula berkuat kuasa 20 Januari 2026.
Beliau yang merupakan jurutera awam berpengalaman luas dengan lebih empat dekad penglibatan dalam industri kejuruteraan dan infrastruktur, merangkumi projek tenaga, pelabuhan dan penambakan.
Jelas kumpulan pembangunan pengurusan lebuh raya bertol itu, tokoh berusia 64 tahun ini, berkemahiran dalam isu struktur dan jambatan, lebuh raya, pengangkutan, rel, infrastruktur serta air dan air sisa.
"Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari Imperial College London di Britain itu, turut memegang pelbagai kelayakan profesional," kata WCE dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ini termasuk Jurutera Profesional dengan Sijil Amalan (PEPC), Lembaga Jurutera Malaysia serta Felo dan anggota seumur hidup di Institut Jurutera Malaysia, selain dalam pelbagai badan antarabangsa.
Antaranya tambah WCE, termasuk sebagai jurutera profesional bertauliah ASEAN, Australia dan India serta anggota International Professional Engineer di bawah International Engineering Alliance.
Rosaline pernah memegang jawatan kanan di Ganendra Ahmad & Associates dan Minconsult Sdn Bhd, serta aktif dalam badan kawal selia dan industri seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
"Selain dilantik sebagai anggota berkelayakan Suruhajaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), beliau kini turut menyertai Lembaga Pengarah dalam syarikat Southern Steel Berhad dan Aquawalk Group Berhad," katanya.
Di samping itu, WCE menambah, beliau tiada sebarang hubungan kekeluargaan atau konflik kepentingan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama dalam syarikat berkenaan sendiri.
Pada masa yang sama jelasnya, beliau tidak memiliki sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam sekuriti WCE atau anak-anak syarikatnya. - DagangNews.com








