Wawasan Dengkil raih dua kontrak bernilai RM53.81 juta untuk kerja-kerja gentian optik dan tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wawasan Dengkil raih dua kontrak bernilai RM53.81 juta untuk kerja-kerja gentian optik dan tanah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai – Wawasan Dengkil Holdings Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan awam berjaya meraih dua kontrak dengan nilai keseluruhan RM53.81 juta.

 

Syarikat itu yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia pada 25 Mac lalu, memaklumkan, anak syarikatnya, Wawasan Dengkil Sdn Bhd (WDSB), bersama Twin Hi-Technologies Sdn Bhd, telah menerima kontrak bernilai RM44.76 juta daripada PG LinkaranFiber Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak tersebut termasuk kerja pembekalan, pembinaan dan pemasangan infrastruktur gentian optik di kawasan selatan Semenanjung Malaysia.

 

"Projek dijadual bermula pada 25 Jun 2025 dan Sijil Penerimaan Akhir (FAC) dijangka dikeluarkan dalam tempoh 19 bulan selepas kerja pentauliahan siap sepenuhnya. 

 

"Tempoh liabiliti kecacatan pula ditetapkan selama 12 bulan selepas tarikh FAC," katanya.

 

Dalam satu lagi pemakluman berasingan, WDSB turut menerima surat anugerah bernilai RM9.05 juta daripada TG Malim Hi-Tech Park Sdn Bhd bagi kerja pembersihan tapak dan kerja tanah melibatkan kawasan seluas 41.9 hektar di Behrang Ulu, Perak.

 

Kontrak itu akan berjalan selama enam bulan bermula 20 Jun 2025 dan dijangka siap pada 19 Disember 2025.

 

Kedua-dua kontrak dijangka memberi impak positif terhadap aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan kadar keberhutangan syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.

 

Wawasan Dengkil menjalankan operasi penggalian, pemindahan dan pemadatan tanah serta batuan berskala besar bagi membentuk tambakan dan platform sebagai asas kepada kerja pembinaan. 

 

Syarikat itu juga terlibat dalam pembinaan jalan raya, sistem perparitan dan pembetungan. - DagangNews.com