KUALA LUMPUR 6 April - Wasiyyah Shoppe Berhad menawarkan perkhidmatan wasiat percuma kepada bakal jemaah haji tahun 2026 sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.
Tawaran tersebut dibuka bermula 7 April hingga 15 Mei 2026 dan terbuka kepada semua bakal jemaah haji di seluruh negara tanpa syarat, berbeza dengan pendekatan tahun-tahun sebelumnya yang terhad kepada jemaah yang hadir secara fizikal ke reruai syarikat semasa kursus perdana haji.
Presiden Kumpulan Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata inisiatif itu diteruskan setiap tahun sebagai usaha membantu masyarakat membuat perancangan harta sebelum menunaikan ibadah haji.
Menurut beliau, risiko yang dihadapi jemaah haji sentiasa wujud, khususnya sekiranya berlaku kematian di tanah suci yang boleh menyukarkan waris menguruskan harta pusaka tanpa dokumen perancangan yang lengkap.
“Bagi tahun 2026, risiko tersebut dilihat lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan situasi konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
“Atas sebab itu, tawaran ini dibuka kepada semua bakal jemaah haji di seluruh Malaysia tanpa sebarang syarat,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara purata, kira-kira 1,000 jemaah haji memanfaatkan kemudahan wasiat percuma yang ditawarkan Wasiyyah setiap tahun.
Bakal jemaah haji boleh mendapatkan wasiat percuma dengan menghubungi mana-mana perunding harta pusaka Wasiyyah yang berdaftar atau melayari laman web rasmi syarikat di www.wasiyyahshoppe.com.my.
Ariffin berkata dengan sokongan kira-kira 6,000 perunding profesional terlatih di seluruh negara serta aplikasi digital Wasiyyah yang diiktiraf sebagai platform berasaskan fintech pertama di Malaysia, akses kepada perkhidmatan tersebut kini lebih mudah untuk masyarakat.
Selain itu, jemaah haji juga boleh mendapatkan tawaran lain seperti diskaun menarik bagi perkhidmatan hibah dan amanah.
Wasiyyah memberi jaminan bahawa kesemua dokumen jemaah haji dapat disediakan sebelum mereka berangkat ke tanah suci.
Bagi tahun ini, Wasiyyah menjangkakan seramai 2,000 bakal jemaah haji akan memanfaatkan tawaran wasiat percuma tersebut. - DagangNews.com








