Wasco Greenergy tonjolkan peranan jurutera wanita semakin perkasakan peralihan tenaga lestari negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco Greenergy tonjolkan peranan jurutera wanita semakin perkasakan peralihan tenaga lestari negara

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 Mac – Dalam usaha Malaysia mempercepatkan peralihan kepada tenaga lebih lestari, peranan jurutera wanita dalam aspek membangunkan sistem tenaga cekap kini menjadi isu kritikal.


Menurut Wasco Greenergy Berhad, dengan kepimpinan wanita yang semakin menyerlah dalam sektor kejuruteraan berat dan sebelum ini didominasi lelaki, usaha tersebut diyakini terus diperkasakan.


Antaranya sistem tenaga stim biomas yang kekal sebagai komponen penting menyokong operasi industri, serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil melalui penggunaan sisa kelapa sawit.


Pengurus Reka Bentuk Kanan Wasco Greenergy, See Hooi Nee, memainkan peranan utama dalam mereka bentuk sistem tenaga stim bertekanan tinggi yang sekali gus mampu beroperasi secara konsisten.


Dengan pengalaman hampir dua dekad, beliau bertanggungjawab memastikan misi kumpulan itu memenuhi keperluan industri, sambil menyokong agenda penyahkarbonan negara yang digariskan oleh kerajaan.


Uniknya, beliau terlibat dalam pelbagai projek berskala besar dengan kapasiti hingga 90 tan sejam, mencerminkan tahap kerumitan teknikal dan keperluan kebolehpercayaan tinggi operasi industri.


Menurut Hooi Nee, reka bentuk sistem tersebut, bukan lagi sekadar memastikan fungsi asas, tetapi perlu mengambil kira pelbagai kesan jangka panjang terhadap komuniti setempat dan alam sekitar.


Artikel berkaitan: Wasco Greenergy tingkatkan pengeluaran turbin stim berprestasi tinggi, sasar pasaran serantau dan antarabangsa

 

See Hooi Nee
SEE HOOI NEE



“Sebagai jurutera syarikat, kita perlu memastikan rumusan yang dibangunkan Wasco Greenergy bukan sahaja berfungsi hanya pada hari ini, tetapi kekal relevan untuk masa hadapan,” katanya optimis.


Dalam usaha meningkatkan kecekapan, kumpulan itu turut menumpukan kepada pemulihan tenaga haba melalui penggunaan teknologi seperti pemanas awal udara, bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga.


Syarikat itu juga kata Hooi Nee, sudah mula beralih daripada model kejuruteraan tradisional kepada pemilikan aset jangka panjang menerusi pendekatan di bawah rangka kerja dikenali sebagai BOOT dan BOO.


Usaha berkenaan jelas beliau, menuntut tahap akauntabiliti yang lebih tinggi terhadap prestasi sistem sepanjang kitaran hayatnya, serta memerlukan disiplin teknikal dan ketahanan diri dalam operasi kerja.


“Bagi saya, ia bermakna bekerja dua kali lebih keras dan memastikan tidak mengulangi kesilapan sama, sentiasa bersedia, peka, dan kekal teguh agar pencapaian dapat 'berbicara' lebih kuat," katanya.


Seiring sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 dan Hari Kejuruteraan Sedunia untuk Pembangunan Mampan, Wasco Greenergy turut menegaskan penglibatan wanita dalam kepimpinan teknikal.


Langkah dilaksanakan kumpulan berkenaan dalam menonjolkan peranan jurutera wanita, akan terus menjadi pemacu penting membentuk masa depan tenaga yang lebih mampan di Malaysia. - DagangNews.com