KUALA LUMPUR 4 Nov – Wasco Bhd memperoleh kelulusan pemegang saham bagi penyenaraian unit tenaga boleh baharunya, Wasco Greenergy Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia, sekali gus membuka laluan untuk kemunculan sulung syarikat itu yang disasar pada pertengahan Disember ini.
Wasco berkata, prospektus syarikat dijangka dilancarkan hujung November, dengan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan sehingga 150 juta saham, merangkumi 75 juta saham baharu dan 75 juta saham sedia ada yang ditawarkan oleh Wasco serta Tema Energy Ventures Sdn Bhd.
IPO itu merangkumi sehingga 37% pegangan dalam Wasco Greenergy.
Selepas penyenaraian, Wasco akan mengekalkan 62.54% kepentingan dalam syarikat itu berbanding 88.87% ketika ini, manakala Tema Energy Ventures memegang baki 11.13%.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Gian Carlo Maccagno berkata, penyenaraian tersebut menandakan fasa penting dalam perkembangan platform tenaga boleh baharu syarikat itu.
“Ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap strategi tenaga hijau Wasco dan mengukuhkan komitmen kami untuk memperkasa penyelesaian tenaga bersih, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Wasco Greenergy telah berkembang daripada pakar dalam sistem biojisim dan termal kepada penyedia penyelesaian tenaga bersih yang komprehensif bagi menyokong agenda nyahkarbon industri.
CIMB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama bagi penyenaraian itu.
Wasco Greenergy terlibat dalam mereka bentuk dan menyediakan sistem tenaga bersih serta penyelesaian kilang sawit bersepadu, selain menawarkan perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan kepada pelbagai sektor termasuk minyak sawit, oleokimia, kilang kertas dan taman industri.- DagangNews.com








