Walaupun hutang isi rumah mencecah 84.3% daripada KDNK, Bank Negara tegaskan tiada apa perlu dibimbangkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Walaupun hutang isi rumah mencecah 84.3% daripada KDNK, Bank Negara tegaskan tiada apa perlu dibimbangkan

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Hutang isi rumah Malaysia berada pada 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu tahap yang dianggap sesuai dengan keadaan ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

 

Beliau berkata, bank pusat memantau dengan teliti tahap hutang isi rumah yang tinggi ini, walaupun pinjaman diberikan secara berhemah dan dibayar tepat pada masanya.

 

"Dari perspektif kestabilan, ini adalah pinjaman berkualiti baik, dan pulangan keseluruhan pemegang saham (TSR) juga telah meningkat," katanya pada sidang media selepas pengumuman prestasi KDNK Malaysia bagi suku kedua 2025.

 

 

 

 

 

 

Abdul Rasheed berkata, institusi perbankan kekal berhemah dalam kelulusan pinjaman serta menyokong isi rumah melalui amalan pembiayaan yang mantap.

 

"Baki nisbah kerugian pinjaman isi rumah terkini berada pada tahap sihat iaitu 1.1 peratus, mencerminkan ketahanan peminjam isi rumah," tambahnya.

 

Dalam sesi Dewan Rakyat baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, mendedahkan hutang isi rumah Malaysia mencapai RM1.65 trilion sehingga akhir Mac 2025.

 

 

 

 

 

 

Walaupun tahap ini tinggi, ia diimbangi oleh aset isi rumah yang kukuh.

 

"Setakat akhir Mac 2025, sektor isi rumah didukung aset kewangan berjumlah RM3.45 trilion, iaitu 2.1 kali lebih tinggi daripada jumlah hutang, menunjukkan daya tahan yang mantap dalam kalangan isi rumah," katanya. - BERNAMA