KUALA LUMPUR 14 Feb - Bursa Malaysia Securities Berhad menegur Waja Konsortium Berhad (WAJA) dan dua pengarah syarikat daripadanya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities (ACE LR).
Selain itu, dua pengarah syarikat itu, Peh Lian Hwa dan Peh Jia Yau, masing-masingnya didenda RM100,000.
"Waja Konsortium telah ditegur secara terbuka kerana melanggar Peraturan 8.04(3)(b) ACE LR yang dibaca bersama-sama dengan perenggan 4.1(a) Nota Panduan 3 (GN3) di mana syarikat telah gagal membuat pengumuman secara serta-merta selepas pengumuman laporan suku tahunannya untuk tempoh kewangan berakhir (FPE) 30 Jun 2023 (QR 30/6/2023) pada 24 Ogos 2023.
"Ia telah mencetuskan perenggan 2.1(b) dan 2.1(c) GN3. Pengumuman Pertama hanya dibuat pada 10 Oktober 2023 iaitu, 1.5 bulan selepas pengumuman QR 30/6/2023 dan seterusnya penglibatan oleh Bursa Malaysia Securities," kata badan penyelia tersebut.
Menurut bursa, dapatan pelanggaran dan pengenaan penalti di atas ke atas WAJA dan para pengarah adalah dibuat menurut Peraturan 16.19 ACE LR setelah selesai proses yang sewajarnya dan selepas mengambil mengambil kira semua fakta dan keadaan perkara itu termasuk material pelanggaran, kesan pelanggaran kepada WAJA dan pemegang saham/pelaburnya, dan peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan kelakuan para pengarah.
Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran itu kerana Pengumuman Pertama adalah penting
kepada pemegang saham dan pelabur kerana ia berkaitan dengan keadaan kewangan WAJA dan
akibat diklasifikasikan sebagai syarikat yang mengalami masalah kewangan mengikutt GN3.
"Ini termasuk kemungkinan penggantungan dan penyahsenaraian sekiranya syarikat gagal menyelaraskan keadaan kewangannya dalam tempoh masa yang ditetapkan di bawah Peraturan 8.04 ACE LR dan GN3.
"Oleh itu, pendedahan maklumat sedemikian yang berkaitan dengan klasifikasi/cetusan GN3 yang tepat pada masanya adalah penting ke arah memudahkan keputusan pelaburan termaklum. - DagangNews.com








