KUALA LUMPUR 1 April – Vizione Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih mencecah sebanyak RM356.0 juta bagi tempoh kewangan selama 18 bulan yang berakhir pada 30 November 2025 (FY25).
Kerugian ketara itu berpunca daripada pelarasan perakaunan bukan tunai serta rosak nilai aset yang diiktiraf secara sekali sahaja bagi memastikan penyata kewangan mencerminkan penilaian realistik.
Jelas kumpulan berkenaan, kerugian ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh rosak nilai penuh muhibah berjumlah RM80.0 juta berkaitan pemerolehan Vizione Builder Sdn Bhd pada tahun 2017.
"Syarikat juga mengiktiraf kerugian rosak nilai dan hapus kira aset kewangan berjumlah RM229.1 juta yang merangkumi penghutang perdagangan, deposit, dan aset kontrak," maklum Vizione kepada bursa.
Walaupun mencatatkan kerugian bersih, ia meraih pendapatan RM388.3 juta bagi tempoh 18 bulan itu, yang dipacu oleh kemajuan projek-projek utama seperti pusat rehabilitasi dan Residensi Sentral.
Sebagai perbandingan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (tempoh 12 bulan), syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.1 juta daripada pendapatan berjumlah RM244.9 juta.

Margin syarikat turut terkesan oleh kenaikan kos pengangkutan bahan binaan pukal hingga 20% susulan rasionalisasi subsidi diesel dan penguatkuasaan peraturan bebanan kenderaan berat yang lebih ketat.
"Vizione sudah melaksanakan pengurangan modal saham sebanyak RM500 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul dan memperkukuh struktur modal syarikat bagi tahun kewangan akan dating," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusannya, Datuk Ng Aun Hooi dalam kenyataannya menyifatkan tempoh ini sebagai fasa penyelarasan korporat, dan menegaskan kumpulan meningkatkan disiplin aliran tunai.
Usaha tersebut dilakukan selepas mereka menangani pendedahan legasi melalui pelarasan imbangan duga, serta kini berada pada kedudukan yang lebih baik dan telus untuk membina semula keuntungan.
Bagi tahun kewangan 2026, Vizione akan mengamalkan pendekatan lebih berdisiplin dalam memilih projek infrastruktur dan hartanah yang menawarkan potensi margin secara mampan. - DagangNews.com








