KUALA LUMPUR 10 April - Ahli perniagaan Victor Chin Boon Long memohon Mahkamah Tinggi membenarkannya memberi keterangan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dalam satu kes sivil yang difailkan pada 2023 dengan alasan beliau kini berada di luar negara dan bimbang terhadap keselamatannya jika kembali ke Malaysia.
Permohonan menerusi dua surat yang dikemukakan oleh peguamnya daripada firma KH Wong & Co, menyatakan Victor Chin berada di lokasi tidak didedahkan selepas meninggalkan negara atas kebimbangan terhadap keselamatan peribadi.
“Ketakutan ini berpunca daripada liputan meluas media serta tuduhan terbuka terhadapnya, yang meletakkannya dalam risiko munasabah untuk dicederakan sekiranya pulang buat masa ini,” menurut surat bertarikh 8 April, lapor The Edge.
Kes berkenaan melibatkan saman balas berjumlah RM49.85 juta yang difailkan pada Julai 2023 oleh bekas pengarah anak syarikat kargo milik 80% MMAG Holdings Bhd, iaitu M Jets Sdn Bhd, Gunasekar Mariappan dan Philip Phang terhadap MMAG serta beberapa pihak lain termasuk Victor Chin.
Pertikaian tersebut tercetus selepas kedua-dua individu itu digantung tugas pada Februari 2023 susulan siasatan dan serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pejabat M Jets sebelum dilucutkan jawatan.
MMAG kemudiannya memfailkan saman terhadap mereka pada April atas dakwaan pelanggaran tanggungjawab fidusiari, menuntut ganti rugi RM23.17 juta.
Peguam Victor Chin memaklumkan bahawa anak guam mereka menafikan semua dakwaan dan mendakwa dirinya sebagai mangsa dalam isu tersebut.
“Beliau bukan sahaja mempertikaikan tuduhan terhadapnya, malah menegaskan dirinya adalah mangsa salah laku korporat yang lebih luas, yang kini sedang disiasat dan menjadi perhatian umum,” katanya.
Tambah mereka, ketiadaan Victor Chin di Malaysia bukan bertujuan mengelak prosiding mahkamah, sebaliknya langkah sementara yang diambil dengan niat baik demi keselamatan diri.
Dalam masa sama, peguamnya menegaskan Victor Chin kekal komited untuk mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah serta mematuhi segala arahan, termasuk bersedia memberi keterangan secara maya bagi mengelakkan kelewatan perbicaraan.
Bagi menyokong permohonan tersebut, laporan polis turut dikemukakan, yang menyatakan Victor Chin bimbang terhadap keselamatannya susulan saman sivil yang difailkannya terhadap pengasas Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam Abdul Nor dan peguam N Sandraruben, di mana beliau mendakwa Aminul sebagai “mafia korporat sebenar”.
Bagaimanapun, peguam kepada Gunasekar dan Phang, Kang Zhen Leong dari Alvin Tang Law Office, membantah permohonan tersebut, dengan alasan defendan mampu kembali ke Malaysia.
Beliau turut mendakwa Victor Chin cuba mengelak tindakan undang-undang termasuk kemungkinan penahanan berkaitan siasatan jenayah dan penglibatan dalam sindiket yang didakwa sebagai “mafia korporat”.
“Jika permohonan ini dibenarkan, ia seolah-olah mengesahkan cubaan beliau untuk mengelak pihak berkuasa,” katanya.
Victor Chin sebelum ini menjadi perhatian selepas laporan Bloomberg mendakwa kewujudan kumpulan ahli perniagaan yang digelar “mafia korporat” menggunakan institusi penguat kuasa untuk mengambil alih syarikat tersenarai. Beliau bagaimanapun menafikan penglibatan dan mendakwa dirinya adalah mangsa.
Terkini, Chin turut memfailkan saman terhadap Aminul dan Sandraruben atas dakwaan konspirasi, ugutan serta salah nyata bagi memaksanya melepaskan jawatan dalam NexG Bhd dan menyerahkan kawalan syarikat itu.
Beliau bersama pemegang saham utama lain kini menuntut ganti rugi atas kerugian yang didakwa dialami susulan insiden tersebut. - DagangNews.com








