KUALA LUMPUR 19 Mac - Polis Diraja Malaysia mengesahkan ahli perniagaan Victor Chin Boon Long, yang didakwa terlibat dalam manipulasi korporat berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kini berada di luar negara.
Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya sedang memperhebat usaha mengesan Chin dengan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara.
“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan dan mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu diambil tindakan berdasarkan AMLA dan semua sedia maklum bahawa beliau kini berada di luar negara. Usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan kerjasama pelbagai pihak,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Pada 16 Mac, polis mengesahkan telah melakukan serbuan di beberapa premis milik Chin di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang, namun beliau dan isterinya tidak berada di lokasi ketika serbuan dijalankan.
Mohd Khalid berkata serbuan yang dijalankan bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) itu adalah bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Kabinet telah mengarahkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia, SC, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk meneruskan siasatan terperinci berhubung isu manipulasi korporat.
Beliau berkata tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil termasuk merampas hasil yang dipercayai mempunyai unsur jenayah.
Pada 11 Feb, media antarabangsa Bloomberg melaporkan dakwaan bahawa sekumpulan ahli perniagaan dipercayai bekerjasama dengan beberapa pegawai SPRM termasuk ketua pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki bagi memberi tekanan kepada tokoh korporat dalam kes pengambilalihan syarikat.
Bagaimanapun, Azam menafikan dakwaan tersebut dan telah memfailkan saman terhadap Bloomberg, menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta. - BERNAMA








