KUALA LUMPUR 31 Dis - Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group menetapkan sasaran bagi meneroka tiga sektor baharu pada 2025 iaitu pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasasnya, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, langkah itu seiring dengan cabaran dunia perniagaan yang memerlukan syarikat untuk mempelbagaikan cabang perniagaan.
"VFive Group memulakan operasi pada 2012 dalam lima bidang utama iaitu pengiklanan, media dan pengurusan acara, perdagangan umum, perkhidmatan pengambilan tenaga kerja (GTSR), pengurusan kemudahan, pembinaan dan serta teknologi maklumat.
"Kami kini mengorak langkah dengan melebarkan perniagaan dalam industri-industri utama lain seperti sektor pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan 2024 VFive Group, yang bertemakan A Night of Elegance - Bound by Unity, Drive by Success, yang diadakan di Marriott Putrajaya Hotel, baru-baru ini.
Majlis tersebut turut memberi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan syarikat, terutamanya rakan strategik yang sentiasa bekerjasama bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tahun ini tercapai.
Mohd Syafiq berkata, langkah strategik tersebut adalah sebahagian daripada visi besar syarikat untuk terus berkembang dan mencipta kesan meluas dalam sektor perniagaan.
Katanya, berdasarkan rekod kejayaan kukuh dalam bidang yang diceburi, VFive Group kini bersedia membawa kepakaran, inovasi dan kecekapan ke dalam sektor-sektor yang lain.
"Menerusi pendekatan berteraskan profesionalisme dan kualiti, syarikat berhasrat untuk menjadi peneraju dalam setiap industri yang diceburi, seiring dengan reputasi yang terus cemerlang.
"Pengembangan industri ini menunjukkan keberanian dan wawasan syarikat untuk merebut peluang baharu serta mempelbagaikan portfolio perniagaan," jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, langkah berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada kakitangan untuk memperkasakan kemahiran mereka, malah membuka lebih banyak ruang dan peluang yang menjamin masa depan.
Tambahnya, VFive Group kekal memberi keutamaan kepada kebajikan kakitangan.
"Kakitangan syarikat juga diberi keutamaan melalui pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjaga.
"Sikap prihatin ini mencerminkan komitmen syarikat dalam membina persekitaran yang harmoni, di mana semua individu dihargai untuk mencapai potensi penuh," ujarnya.
Selain fokus kepada kejayaan dalaman, Mohd Syafiq turut menekankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
"Tahun ini, kami menyediakan sejumlah peruntukan bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menjaga kebajikan dan membantu golongan yang memerlukan.
"Dana tersebut digunakan untuk pelbagai inisiatif, termasuk bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan, serta program kebajikan lain yang memberi kesan positif kepada masyarakat. Jumlah peruntukan ini akan terus ditingkatkan setiap tahun," katanya.
Antara inisiatif yang dilakukan dilaksanakan Yayasan VFive termasuklah Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki, Sumbangan Bakul Makanan dan pelbagai lagi program pembangunan modal insan komuniti untuk mereka yang kurang berkemampuan. - DagangNews.com







