KUALA LUMPUR 28 Jan – VentureTECH Sdn Bhd melabur dalam TYMBA Education Group Sdn Bhd untuk mempertingkatkan dan mengembangkan platform pembelajaran digital TYMBAFlex untuk memperkukuh kapasiti operasinya.
Ia juga menambah ciri teknologi seperti bimbingan AI dan analitik lanjutan, serta memperluas model pembelajaran hybrid TYMBA ke pasaran serantau ASEAN bagi kursus profesional seperti ACCA, CFA, CIMA dan ICAEW.
TYMBAFlex kini membolehkan pelajar mengikuti kursus profesional secara fleksibel, menggabungkan kuliah langsung, rakaman, penilaian, pemantauan kemajuan, dan sokongan pelajar dalam satu ekosistem.
Platform ini direka untuk membolehkan pelajar menyeimbangkan komitmen profesional sambil mengejar kelayakan antarabangsa pada kos lebih mampu milik.
Pelaburan VentureTECH akan menyokong evolusi platform ini menjadi Integrated Learning Experience (ILE), yang merangkumi automasi pembelajaran berasaskan penguasaan, bimbingan AI dan analitik lanjutan.
Model pembelajaran hibrid TYMBAFlex menggabungkan pengajaran digital dengan sokongan bimbingan, membolehkan pelajar mengejar kelayakan profesional sambil mengekalkan komitmen kerja. Ia direka untuk menyokong pelajar di setiap peringkat perjalanan profesional, dari laluan pembelajaran fleksibel hingga pencapaian akademik yang tinggi.


TYMBA juga diiktiraf sebagai ACCA Platinum Approved Learning Partner, menjadi institusi terpantas di dunia menerima pengiktirafan ini.
Ia mencatatkan kadar lulus 83%, jauh melebihi purata global 54% dan telah menyokong lebih 5,000 pelajar di Malaysia dan pasaran serantau termasuk Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Brunei.
Pelaburan VentureTECH selaras dengan mandat mereka untuk memupuk syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), serta menyokong Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Ahmad Redzuan Sidek berkata pelaburan ini direka untuk memperluas akses kepada pendidikan profesional berkualiti tinggi melalui teknologi dan model pembelajaran hibrid.
“Sokongan ini juga bertujuan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor profesional bernilai tinggi.
“Selain modal, VentureTECH memainkan peranan pembangunan dengan menyokong syarikat yang menangani jurang struktur dalam ekonomi. Dalam TYMBA, ini termasuk memperluas akses pendidikan profesional, memperkukuh hasil modal insan, dan mewujudkan platform berskala yang memberi manfaat kepada pelajar, organisasi, dan ekosistem pendidikan secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Mohd Airil Razali berkata sokongan VentureTECH mendokong misi mereka untuk menjadikan pendidikan profesional lebih mudah diakses dan bersedia menghadapi masa depan.
“Pelaburan ini juga mempercepatkan visi pelan hala tuju teknologi TYMBA dan memperkukuh keupayaan syarikat untuk membangunkan tenaga profesional dalam industri,” katanya.
Kerjasama ini turut melengkapkan penglibatan TYMBA dengan rakan strategik seperti Yayasan Peneraju dalam menyokong laluan pendidikan profesional untuk pelajar Bumiputera.
Dengan platform digital berskala, model penyampaian hibrid, dan pengembangan serantau, TYMBA berada pada kedudukan terbaik untuk memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pendidikan profesional di Malaysia dan ASEAN. - DagangNews.com








