KUALA LUMPUR 22 Jan — Velesto Energy Berhad dijangka menjadi antara syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) tempatan yang menarik pelabur, susulan potensi kontrak penggerudian jangka panjang.
Sehubungan itu, CGS International meramalkan kemungkinan pengumuman dividen khas hasil pelupusan aset berikutan semakan saluran pasaran menunjukkan ia berpeluang memperoleh beberapa kontrak lagi.
Firma penyelidikan tersebut menambah, antara dilihat sebagai berpotensi positif ialah pelantar Naga 2, Naga 6 dan Naga 8, selain kemungkinan penyewaan secara berturutan melibatkan pelantar pihak ketiga.
"Sekiranya perkembangan itu menjadi kenyataan, kami mengunjurkan kadar penggunaan pelantar Velesto meningkat kepada 85% bagi FY26 berbanding 72% pada FY25," katanya dalam nota kajian hari ini.
Situasi itu sekali gus memperkukuh keterlihatan pendapatan kerana kumpulan itu mungkin menyiapkan penjualan pelantar Naga 3 sekitar Mac atau April 2026, dengan hasil dianggarkan RM254.8 juta.
CGSI menjangkakan hampir keseluruhan perolehan berkenaan akan diagihkan sebagai dividen khas kira-kira 3 sen sesaham, berpotensi diumumkan bersama keputusan kewangan 1QFY26 pada Mei 2026.
Ini disokong oleh kedudukan kewangan Velesto yang kukuh, dengan tunai RM169 juta dan aset semasa bersih RM263 juta setakat 30 September 2025, selain ketiadaan rancangan pemerolehan aset baharu.
"Kumpulan ini turut menyemak kembali jadual tinjauan berkala khas (SPS) dalam tempoh FY26 hingga FY27, dan melunaskan penuh hutang projek yang berkaitan pelantar pada Oktober 2024," katanya.
Selain itu, CGSI menegaskan pelupusan Naga 3 adalah langkah strategik kerana pelantar tersebut tidak digunakan sejak November 2024, yang dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dan perbelanjaan.
Usaha tersebut kata firma itu, meningkatkan unjuran pendapatan sesaham bermula FY26, manakala Naga 2 pula dinilai berpotensi memperoleh kontrak selama lima tahun yang bermula Mei 2026 hingga 2030.
Sementara itu jelasnya lagi, Naga 6 dan Naga 8 masing-masing dijangka memperoleh kerja-kerja secara berterusan di perairan Malaysia selama sekitar dua tahun bermula tempah suku kedua FY26.
"Velesto juga dilihat meneroka inisiatif pertumbuhan berasaskan model ‘aset ringan’ melalui penggunaan pelantar pihak ketiga, yang dianggarkan menjana nilai hampir 5 sen sesaham," kata CGSI.
Berdasarkan keadaan semasa, ia mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 31.5 sen, selari dengan profil isu risiko kumpulan yang dinilai semakin berkurangan.
Antara pemangkin penilaian semula saham termasuk pengumuman dividen khas, kontrak penggerudian jangka panjang baharu, penyewaan pelantar pihak ketiga dan kontrak dengan syarikat tertentu.
Bagaimanapun kata CGSI, risiko utama Velesto kekal pada kelewatan penganugerahan kontrak, kadar aliran tunai lebih rendah daripada jangkaan serta dividen yang tidak memenuhi unjuran. - DagangNews.com








