Varia peroleh kontrak pembetungan RM293 juta daripada RSM Builders di Pasir Gudang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Varia peroleh kontrak pembetungan RM293 juta daripada RSM Builders di Pasir Gudang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 April – Varia Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Teguh Maju Sdn Bhd meraih kontrak daripada RSM Builders Sdn Bhd bagi pelaksanaan projek menaik taraf sistem pembetungan di Pasir Gudang, Johor.

 

Projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf Loji PSG024 kepada loji rawatan kumbahan serantau serta pembinaan rangkaian paip pembetungan dan kerja-kerja di Sub Tadahan Sungai Kim Kim Barat. Ia dilaksanakan menerusi kaedah reka dan bina.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Varia berkata skop kerja sub-kontrak tersebut merangkumi pembekalan tenaga kerja, bahan binaan, peralatan, alat serta jentera bagi membina dan menyiapkan sistem saliran kumbahan dan rangkaian paip berkaitan.

 

“Nilai keseluruhan kontrak yang diperoleh adalah sebanyak RM293.33 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 55 bulan. Projek ini dijadualkan bermula pada 24 April 2026 dan dijangka siap pada 30 November 2030,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut Varia Berhad, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan bagi tempoh kewangan sepanjang pelaksanaan projek itu.

 

Bagaimanapun, syarikat menjelaskan kontrak itu tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham mahupun struktur pegangan saham kumpulan Varia.

 

“Antara risiko yang mungkin mempengaruhi pelaksanaan projek termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan peraturan serta risiko operasi di tapak projek. Justeru, langkah mitigasi akan diambil bagi mengurangkan kesan risiko tersebut.

 

“Tiada sebarang pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan dengan syarikat mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan,” katanya. - DagangNews.com