Vanzo catat untung bersih susut kepada RM1.19 juta bagi FY25 akibat kos penyenaraian di bursa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vanzo catat untung bersih susut kepada RM1.19 juta bagi FY25 akibat kos penyenaraian di bursa

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 JanVanzo Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.19 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, susut berbanding RM4.91 juta pada FY24.


Kejatuhan ketara keuntungan ini disebabkan terutama oleh kos penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) sekali sahaja di Pasaran ACE Bursa Malaysia berjumlah RM2.9 juta pada 17 Disember 2024.


Selain itu, kumpulan tersebut berkata, kemerosotan juga disebabkan peningkatan perbelanjaan pengiklanan dan promosi menyokong pelancaran portfolio produk baharu dan peluasan liputan pasaran.


"Walaupun keuntungan bersih terjejas oleh aktiviti pelaburan strategik, syarikat masih merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 21.2% kepada RM60.52 juta," maklum Vanzo kepada bursa hari ini.


Peningkatan hasil ini jelas kumpulan itu, didorong oleh sumbangan jualan yang lebih kukuh merentas barisan produk sedia ada, disokong oleh pengembangan rangkaian pengedaran dan kehadiran runcit. 


Margin untung kasar syarikat berkenaan turut didapati meningkat kepada 54.6% berbanding kira-kira 49.6% pada FY24, sekali gus mencerminkan campuran produk yang lebih baik dan kecekapan kos.


Bagaimanapun kata Vanzo, keuntungan sebelum cukai (PBT) menurun kira-kira 57.4% kepada sebanyak RM2.93 juta berikutan kos penyenaraian dan perbelanjaan pemasaran bagi siri Smart Car Diffuser.


"Jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM33.19 juta, manakala liabiliti menurun 52.6% kepada RM6.56 juta susulan daripada usaha pembayaran balik pinjaman bank dan liabiliti pajakan," tambahnya lagi.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, syarikat berkenaan mengisytiharkan agihan dividen interim satu peringkat sebanyak 002 sen sesaham bagi FY25 yang berjumlah RM0.93 juta kepada pemegang sahamnya.


Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Vanzo, Lim Seng Lee menyatakan, 2025 merupakan detik penting dengan kejayaan syarikat menembusi pasaran Taiwan menerusi 500 cawangan Watsons di seluruh negara itu.


Beliau menambah bahawa perbelanjaan yang dilaporkan meningkat itu pula lebih bersifat strategik untuk mengukuhkan kedudukan pasaran jangka panjang ke atas pendapatan kumpulan berkenaan sendiri.


"Melangkah ke hadapan, kami kekal optimis terhadap prospek industri wangian udara di Malaysia yang dijangka berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 9.0%," katanya.


Ia akan mencapai saiz industri RM387.5 juta pada 2026, dan Vanzo komited memperkenalkan sekurang-kurangnya satu siri produk baharu setiap tahun dengan bauan unik bagi mengekalkan pertumbuhan.


Syarikat juga merancang untuk mewujudkan aliran pendapatan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang berulang bagi mempelbagai sumber pendapatan dan memberikan nilai jangka panjang. - DagangNews.com