Vantris Energy tunjuk tanda-tanda pemulihan disokong pengurusan kos berdisplin, BIMB Securities kekalkan saranan 'Beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy tunjuk tanda-tanda pemulihan disokong pengurusan kos berdisplin, BIMB Securities kekalkan saranan 'Beli'

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 April - Vantris Energy Bhd menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila kembali mencatat keuntungan disokong pengurusan kos yang lebih berdisiplin, menurut BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, momentum positif tersebut turut disumbang oleh peningkatan buku tempahan kumpulan kepada RM6.7 bilion pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (4Q26) berbanding RM6.3 bilion pada suku sebelumnya.

 

Peningkatan itu didorong kontrak pengangkutan dan pemasangan (T&I) bernilai RM1.4 bilion yang diperoleh daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

 

Bagaimanapun, buku tempahan usaha sama kumpulan susut sedikit kepada RM3.4 bilion daripada RM3.9 bilion sebelum ini.

 

Bagi 4Q26, Vantris mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM167 juta, didorong kos pembiayaan lebih rendah susulan penstrukturan semula hutang serta pengawalan kos yang lebih cekap.

 

Menurut BIMB Securities, projek kejuruteraan dan pembinaan (E&C) di Angola yang sebelum ini menjejaskan prestasi kumpulan kini mencatatkan kerugian lebih kecil, sekali gus membantu segmen itu kembali mencatat keuntungan kasar RM41 juta berbanding kerugian kasar RM126 juta pada suku sebelumnya.

 

“Segmen operasi dan penyelenggaraan serta penggerudian juga kekal menguntungkan,” katanya.

 

Firma itu turut menegaskan bahawa Vantris kini memberi tumpuan kepada pertumbuhan kerja yang telah diperoleh sambil mengurangkan pendedahan kepada kontrak berisiko tinggi.

 

Buku tender kumpulan kini mencecah RM25.9 bilion dengan fokus kepada projek E&C di rantau Asia Pasifik, selain peralihan strategik kepada projek T&I berasaskan kadar harian yang menawarkan profil risiko lebih rendah berbanding kontrak lump-sum.

 

Dalam pada itu, BIMB Securities berkata, meskipun mencatatkan kerugian teras RM457 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY26), prestasi tersebut adalah 22% lebih baik daripada jangkaan.

 

Katanya, kumpulan turut berdepan gangguan operasi minimum susulan ketegangan geopolitik, selain mempunyai struktur hutang yang terkawal dengan kira-kira 70% pinjaman didenominasikan dalam ringgit, sekali gus mengurangkan risiko pertukaran asing.

 

Pengurusan Vantris juga menjangkakan impak terhad dalam jangka pendek daripada konflik Amerika Syarikat-Iran, dengan mekanisme pemindahan kos bahan api masih kekal berfungsi.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu berpandangan harga minyak yang kekal tinggi melebihi AS$100 setong akan menyokong aktiviti luar pesisir, sekali gus meningkatkan prospek kumpulan untuk mencatat dua suku berturut-turut yang menguntungkan dan keluar daripada status Amalan Nota 17.

 

Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan “beli” terhadap saham Vantris dengan harga sasaran 72 sen, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 92%.

 

“Penarafan ini disokong oleh pengurusan kos yang berhemah, kunci kira-kira yang semakin kukuh serta kos pembiayaan lebih rendah selepas penstrukturan semula,” katanya.

 

Firma itu turut menaikkan unjuran pendapatan Vantris bagi FY27 hingga FY29 masing-masing kepada RM268 juta, RM322 juta dan RM323 juta. - DagangNews.com