KUALA LUMPUR 21 Okt – Vantris Energy Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd mengumumkan syarikat usaha samanya, Rawabi Sapura Limited Company (Rawabi JV) telah dianugerahkan kontrak bagi perkhidmatan sokongan selaman Tanajib daripada gergasi tenaga global Saudi Aramco.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak yang akan bermula 1 Mei 2027 hingga 30 April 2034 itu menandakan kemajuan penting dalam usaha pemulihan dan penjenamaan semula Vantris Energy di pasaran tenaga global.
Menurut Vantris Energy, skop kerja merangkumi penyediaan perkhidmatan selaman komprehensif termasuk kapal sokongan selaman (DSV) lengkap dengan kru, kenderaan kawalan jauh bawah air (ROV), peralatan selaman, penyelam bertauliah, dan kakitangan pengurusan dan sokongan selaman serta pasukan teknikal di darat.
"Selain itu, kerja-kerja lain turut melibatkan pemeriksaan bawah air, tinjauan struktur, fotografi, ujian bahan, kerja pembaikan struktur dan aktiviti berkaitan," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, kontrak tersebut merupakan satu pencapaian strategik yang mengukuhkan pelan pertumbuhan kumpulan ke pasaran luar negara.
“Memeterai kontrak jangka panjang bersama Aramco membuktikan keupayaan teknikal kami dalam menyediakan penyelesaian luar pesisir bertaraf dunia.
"Ia juga sebahagian daripada strategi kami untuk menyeimbangkan buku pesanan kepada kontrak jangka panjang berasaskan kadar harian, bagi memperkukuh daya tahan jangka panjang Vantris Energy,” katanya.
Katanya, kontrak tujuh tahun ini dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih Vantris Energy sepanjang tempoh tersebut, sekali gus mengukuhkan kestabilan kewangan dan pertumbuhan kumpulan di rantau itu.
Rawabi JV merupakan usaha sama strategik antara Sapura Saudi Arabia Company (Sapura Saudi), anak syarikat milik penuh Sapura Offshore Sdn Bhd, dan Rawabi Vallianz Offshore Services Company Limited.
Sapura Offshore merupakan anak syarikat milik penuh tidak langsung Vantris Energy. - DagangNews.com








