Vantris Energy laksana dasar gaji sara hidup RM3,100 sebulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy laksana dasar gaji sara hidup RM3,100 sebulan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Dis - Vantris Energy Bhd mengumumkan pelaksanaan dasar gaji sara hidup bagi semua pekerja tetapnya, sekali gus menegaskan komitmen syarikat terhadap kebajikan pekerja serta amalan perniagaan yang mampan.

 

Dalam satu kenyataan, Vantris Energy berkata inisiatif itu selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI kerajaan dan menyokong pelaksanaan inisiatif GEAR-UP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan.

 

Menurut syarikat, pelaksanaan dasar gaji sara hidup itu bertujuan mewujudkan usaha bersepadu dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta ekosistemnya bagi merangsang pertumbuhan mampan dalam sektor ekonomi utama.

 

Penanda aras gaji sara hidup ditetapkan pada RM3,100 sebulan, berdasarkan analisis perbandingan gaji industri serta kos sara hidup seperti yang digariskan dalam Panduan Perbelanjaan Belanjawanku 2024/2025.

 

Vantris Energy mengesahkan semua pekerja tetapnya kini menerima pakej pampasan keseluruhan yang memenuhi penanda aras gaji sara hidup tersebut.

 

“Pelaksanaan gaji sara hidup ini mencerminkan komitmen berterusan Vantris Energy terhadap kebajikan pekerja, tanggungjawab sosial dan amalan perniagaan yang mampan,” katanya.

 

Tambahnya, dengan memastikan pampasan yang adil kepada semua pekerja tetap, syarikat berhasrat meningkatkan kualiti hidup pekerja, membentuk tenaga kerja yang berdaya tahan dan bermotivasi, serta mengukuhkan sumbangan mereka kepada pertumbuhan jangka panjang Vantris Energy dan aspirasi ekonomi negara. - DagangNews.com

 

vantris PR