Vantris Energy kembali catat untung operasi 4QFY26, perkukuh laluan keluar PN17 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy kembali catat untung operasi 4QFY26, perkukuh laluan keluar PN17

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 31 Mac – Vantris Energy Bhd mencatatkan pemulihan ketara dalam prestasi operasi bagi suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY2026), sekali gus mengukuhkan langkah syarikat untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan keuntungan operasi sebanyak RM142.4 juta bagi tempoh berakhir 31 Januari 2026, berbanding kerugian RM104 juta yang direkodkan setahun lalu.

 

Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd itu berkata, sasaran untuk keluar daripada PN17 akan dicapai melalui pencapaian dua suku berturut-turut mencatat keuntungan, di samping mengekalkan momentum operasi dan memperkukuh keyakinan pelabur.

 

Prestasi 4QFY2026 dipacu oleh pengurangan peruntukan kerugian bagi projek di Angola, penjimatan kos kewangan sebanyak RM134.5 juta hasil penstrukturan semula, serta caj rosot nilai yang lebih rendah berjumlah RM197.1 juta.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih suku tersebut susut 58.8% kepada RM167.04 juta berbanding RM405.68 juta sebelumnya, disebabkan ketiadaan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM792.1 juta daripada pelupusan SapuraOMV Upstream Sdn Bhd yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Hasil pula merosot 24.5% kepada RM895.9 juta daripada RM1.19 bilion, berikutan sumbangan lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) selepas penyiapan projek utama serta kemajuan kerja yang lebih perlahan.

 

Segmen penggerudian muncul penyumbang utama dengan prestasi lebih kukuh, disokong kadar penggunaan pelantar lebih tinggi dan kadar sewaan yang bertambah baik, manakala segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) kekal stabil.

 

Buku tempahan kumpulan berjumlah RM6.7 bilion setakat akhir Januari 2026, susut daripada RM8.5 bilion tahun sebelumnya.

 

Menurut pengurusan, penurunan itu mencerminkan peralihan strategik daripada projek berskala besar berisiko tinggi kepada kontrak dengan profil risiko lebih seimbang.

 

Bagi tahun kewangan penuh 2026, Vantris Energy mencatatkan lonjakan keuntungan bersih kepada RM3.73 bilion berbanding RM189.53 juta sebelum ini, didorong terutamanya oleh pengiktirafan lebih RM4 bilion penghapusan hutang di bawah pelan penstrukturan semula.

 

Ketua pegawai eksekutif kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh, berkata tahun kewangan 2026 merupakan titik perubahan penting bagi syarikat.

 

“Penstrukturan semula telah mengukuhkan kunci kira-kira dan mengurangkan hutang. Tumpuan kami kini adalah kepada pelaksanaan operasi yang berdisiplin bagi memenuhi keutamaan perniagaan akan datang,” katanya.

 

Dari segi kewangan, kedudukan kumpulan bertambah baik apabila jumlah pinjaman berjaya dikurangkan kepada RM5.48 bilion daripada RM10.76 bilion, manakala ekuiti pemegang saham kembali positif.

 

Selain itu, liabiliti pemiutang turut menurun ketara kepada RM1.97 bilion daripada RM6.12 bilion, dengan semua bayaran tertunggak kepada vendor tempatan telah diselesaikan.

 

Saham Vantris Energy ditutup meningkat 1.4% kepada 37.5 sen pada Isnin, dengan nilai pasaran sekitar RM857.76 juta, namun masih mencatatkan kejatuhan lebih 62% dalam tempoh setahun lalu. - DagangNews.com